|
Onn Hafiz ketika meninjau PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Medan di sini, baru-baru ini. - Foto NSTP/Ihsan Pejabat Menteri Besar
ISKANDAR PUTERI: Nasib 85,000 mangsa bencana banjir negeri ini akan terus dibela kerajaan Johor, menerusi pelbagai bantuan yang sedang dan akan disalurkan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut berikrar tidak akan sesekali membiarkan nasib mangsa bencana banjir negeri ini terbiar dan terumbang-ambing tanpa pembelaan.
Katanya, kerajaaan Johor merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada 85,000 mangsa bencana banjir besar yang melanda negeri ini sejak 1 Mac lalu.
Tambahnya, kerajaan Johor tidak pernah berpejam mata atau berpeluk tubuh, demi untuk membantu semua mangsa bencana banjir di Johor ini.
"Seperti yang kita semua sedia maklum, bermula 28 Februari lalu hujan luar biasa melanda negeri ini sehingga Johor diuji dengan satu ujian yang cukup besar di mana lebih 85,000 rakyat Johor yang menjadi mangsa bencana banjir antara terburuk pernah dihadapi negeri ini.
"Melihat kepada kesengsaraan yang dihadapi oleh mereka kerosakan harta benda, kereta, perabot, jalan raya, kebun dan ladang, malah ada yang terkorban. Hancur hati ini apabila kita turun untuk menghulurkan sedikit bantuan untuk meringankan beban mereka.
"Bayangkan, bagaimana agaknya perasaan ibu bapa yang terpaksa membuat persiapan dalam serba kekurangan untuk menghantar anak mereka ke sekolah hari ini.
"Bayangkan juga bagaimana perasaan mereka mahu menyambut Ramadan apabila harta-benda dan kediaman mereka musnah akibat ditenggelami air," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soalan lisan pada persidangan DUN Johor, di Bangunan Sultan Ismail, hari ini.
Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung mahu tahu mengenai pelan kerajaan Johor bagi membantu mangsa banjir selain menanggani bencana banjir daripada berulang.
Dalam pada itu, Onn Hafiz menzahirkan ucapan menjunjung kasih terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar serta Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, yang mencemar duli menziarah mangsa banjir.
Katanya, baginda Sultan Johor turut menyumbang tenaga, wang ringgit dan aset semasa proses pemindahan mangsa banjir.
"Kerajaan Johor menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim kerana telah mengurniakan 26,000 unit khemah bencana melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) kepada seluruh daerah sebagai persediaan menghadapi banjir.
"Menjunjung kasih juga kepada baginda kerana menggerakkan tiga aset 'AirBoat' berkuasa tinggi untuk operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir yang terperangkap," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... gsa-banjir-terjejas |
|