|
‘DORAEMON’ mengagihkan bungkusan coklat kepada murid SK Serting Ilir dekat Jempol. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Jempol: Seorang ibu membuat kelainan apabila menghantar anaknya Nur Dhia Imani Norazli, 7, ke sekolah dengan memakai kostum animasi terkenal Doraemon.
Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar, 32, dari Kampung Serting Ilir, dekat sini, berkata, dia tidak kisah mengenakan kostum itu kerana percaya ramai murid seperti anaknya mahu kelainan pada hari pertama sesi persekolahan 2023/2024.
Katanya, kostum Doraemon adalah miliknya yang dibeli sejak lima tahun lalu yang sebelum itu sering dipakai di rumah bagi menghiburkan anaknya itu.
"Anak tidaklah terkejut apabila melihat saya memakai kostum ini, namun sedikit lucu apabila dia beritahu Doraemon tidak pernah memandu kereta.
"Apabila sampai di sekolah dia pun tidak kisah berjalan bersama, malah dia kelihatan teruja kerana dihantar Doraemon," katanya.
Nurulazma Shafiqah berkata, murid Sekolah Kebangsaan Serting Ilir juga gembira kerana melihat Doraemon datang ke sekolah sambil membawa bungkusan coklat.
Katanya, dia kemudian mengagihkan bungkusan coklat sumbangan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan kepada 240 murid dan guru.
"Walaupun anak tidak meragam ke sekolah kerana sebelum ini sudah mengikuti kelas prasekolah, saya ambil inisiatif ini untuk hiburkan murid lain terutama murid tahun satu," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... tar-anak-ke-sekolah |
|