|
USAHA mencari Mohd Azani yang dikhuatiri hilang selepas memikat burung dalam hutan Bukit Sudu di Kampung Lingai. FOTO Faizul Azlan Razak.
Kuala Nerus: Seorang buruh berusia 37 tahun yang keluar memikat burung dikhuatiri hilang dalam hutan Bukit Sudu di Kampung Lingai, di sini, awal pagi kelmarin.
Difahamkan, mangsa, Mohd Azani Alias ke hutan berkenaan seorang diri dan gagal dihubungi.
Abang mangsa, Mohd Zuhaidi, 41, berkata adiknya yang masih bujang keluar dari rumah keluarga di Kampung Pengkalan Arang, di sini kira-kira jam 6.30 pagi.
Menurutnya, adiknya bukan kali pertama masuk hutan untuk memikat burung dan biasanya akan pulang sebelum malam.
"Saya dan adik serta beberapa rakan selalu masuk hutan untuk memikat burung dan tersesat itu perkara biasa.
"Namun, kali ini saya berasa pelik apabila adik tidak pulang-pulang kerana biasanya sebelum ini akan keluar hutan sebelum Maghrib.
"Malah, saya juga menemui motosikal milik adik di kaki bukit berkenaan kira-kira jam 2.30 petang kelmarin," katanya yang ditemui di lokasi kejadian.
Mohd Zuhaidi berkata, adiknya ada menghantar gambar menerusi kiriman WhatsApp kepada rakannya yang membantu kepada penemuan motosikalnya.
"Saya yakin adiknya tidak pergi jauh kerana pisau yang dibawa masih berada dalam bakul motosikalnya.
"Justeru, saya mendoakan dan berharap adik dapat ditemui selamat dan laporan polis juga sudah dibuat pada jam 7 pagi semalam," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, lebih 50 kekuatan digerakkan bagi mengesan mangsa.
Beliau berkata, operasi pencarian dilakukan sekitar jarak 100 meter dari lokasi motosikal mangsa ditemui.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -burung-dalam-hutan |
|