|
Tanah Merah: Menggunakan van yang bernombor pendaftaran palsu dengan sejumlah 499 kilogram dadah jenis syabu disorokkan di sebalik muatan pakaian terpakai.
Bagaimanapun, taktik pengedar barang terlarang itu tidak berjaya mengaburi pihak berkuasa apabila dikesan pasukan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu dalam Op Wawasan, Isnin lalu.
Pasukan itu menemui kenderaan dengan muatan bernilai RM17.9 juta itu di tepi Jalan Wan Ahmad, Tanah Merah pada 9.30 malam, namun pemandu van sempat melarikan diri.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob berkata, suspek dipercayai melarikan diri ke arah semak dan meninggalkan kenderaan itu dalam keadaan enjin masih hidup.
"Pemeriksaan anggota di bahagian belakang van menemui 13 guni putih yang di dalamnya mengandungi 99 bungkusan bertulis Guan Yin Wang, disyaki berisi dadah jenis syabu.
"Dadah itu yang dipercayai dibawa masuk dari seberang, berkemungkinan untuk pasaran Lembah Klang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini, hari ini.
Sejumlah 499 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM17.9 juta berjaya dirampas menerusi Op Wawasan disebalik pakaian terpakai di dalam sebuah van dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Azman berkata, selain nombor pendaftaran palsu, nombor chasis dan enjin van itu sudah diganggu.
Menurutnya, jumlah dadah dirampas dipercayai boleh digunakan hampir lima juta penagih dan siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Terdapat lebih 200 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok dan kita sentiasa menjalankan pemantauan bagi membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan dadah," katanya.
Dalam pada itu, Azman berkata, lebih RM37. 1 juta dadah pelbagai jenis dirampas Polis Kelantan dalam tempoh Januari hingga 20 Mac lalu.
Menurutnya, rampasan menerusi Op Tapis Harian, Op Tapis Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Semalaysia dan Op Tapis Bersepadu.
"Dalam tempoh itu, 4,240 orang ditahan, dua pistol dan masing-masing selaras senapang angin dan senapang patah turut dirampas. Harta yang dilucut hak susulan kes bernilai lebih RM1.17 juta," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... an-terpakai-metrotv |
|