|
Rompin: Sejak hari pertama anak perempuannya dilaporkan hilang di sungai dekat Kampung Aur, Bukit Ibam, Muadzam Shah, di sini, kira-kira 22 hari lalu, Zailan Abd Mani tidak pulang ke rumahnya.
Setiap hari, siang dan malam, bapa kepada tiga anak itu yang berusia 49 tahun setia menanti di tebing sungai dengan harapan anak perempuannya, Nur Hafizah, 23, akan kembali.
Zailan berkata, dia tidak dapat tidur malam kerana sering teringatkan anaknya itu, malah setiap kali dia memejamkan mata, wajah anaknya akan terbayang.
"Siang dan malam saya akan menyurus di tebing sungai dan mungkin ada yang fikir saya sudah tidak betul tetapi saya hanya berharap anak saya dapat ditemui, dalam apa jua keadaan, saya sudah bersedia," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mengimbau kejadian, Zailan berkata, dia ketika itu berada di rumah mereka di Kampung Aur Seberang di sini, sedang mengemas barang memandangkan air sudah mula naik di kawasan berhampiran pada 3 petang, manakala Nur Hafizah dan dua lagi anaknya sudah berpindah ke pusat perpindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Aur, di sini.
"Sebaik diberitahu mengenai kejadian, saya terus berlari ke sana tetapi jambatan gantung itu sudah runtuh selepas kabelnya terputus disebabkan arus laju.
"Saya juga dimaklumkan, bapa saudaranya juga turut dihanyutkan arus namun berjaya berpaut pada dahan pokok sebelum diselamatkan penduduk kampung," katanya.
Sementara itu, ibu saudara mangsa, Roszawati Mohamad, 45, berkata, sejak kejadian itu, Zailan menjadi seorang yang pendiam dan tidak pulang ke rumah selepas PPS ditutup sebaliknya dia menumpang di sebuah dewan yang terletak berhampiran sungai.
"Kebanyakan masanya akan berada di tepi sungai sama ada siang atau malam, dan hanya pergi ke dewan itu untuk berehat atau tidur, manakala makan minum pula dibantu oleh saudara mara lain," katanya.
Berkongsi mengenai kejadian itu, Roszawati berkata, Nur Hafizah mengikut bapa saudaranya pergi menyelamatkan kucing peliharaan di rumahnya.
"Kami sudah larang dia mengikut bapa saudaranya itu memandangkan arus sungai terlalu deras dan jambatan itu juga tidak begitu selamat, tetapi entah macam mana dia ikut pergi juga.
"Nur Hafizah seorang yang suka membantu dan dia juga mengajar al-Quran kepada anak Orang Asli pada waktu malam, jika ada kelapangan dia akan membantu saya di kantin SK Kampung Aur.
"Nur Hafizah adalah pelatih Program Pembangunan Tamadun Orang Asli (Petama) anjuran Yayasan Pahang pada 2021.
"Dia kemudiannya dilantik sebagai Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (Pepima) bagi kampung Orang Asli Gadak dekat Bukit Ibam, tahun lalu," katanya.
Dalam kejadian 3 Mac lalu, Nur Hafizah dilaporkan hilang dibawa arus laju ketika menyeberangi jambatan gantung di Kampung Aur dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) gagal menemui mangsa sebelum dihentikan pada 16 Mac lalu dan kini operasi mencari orang hilang diteruskan oleh pihak polis.
Zailan setia menanti di tebing sungai dengan harapan Nur Hafizah dapat ditemuai.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... bing-sungai-metrotv |
|