|
Edited by mattzzx at 26-3-2023 10:09 AM
Pasir Mas: "Melihat api di rumah sebelah sedang marak membuatkan saya ketakutan kerana risau kediaman sendiri akan turut menjadi mangsa," kata Nor Syuhada Mohd Nor, 30.
Bagaimanapun, wanita itu bersyukur kerana rumahnya terselamat walaupun kediaman sepupunya musnah hampir keseluruhan dalam kebakaran di Kampung Bechah Menerong, di sini, pada 8.15 pagi tadi.
Nor Syuhada berkata, dia menyedari kejadian selepas dikejutkan suami, Mohd Shamsul Hassan, 38, lalu menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan selepas cubaan memadamkan sendiri api tidak berjaya
"Saya sekeluarga hanya mampu berdoa semoga api tidak melarat sehingga ke rumah kami. Pelbagai andaian muncul di fikiran, tambahan pula ketika Ramadan sebegini.
"Alhamdulillah, kebakaran dapat dipadamkan dan rumah kami selamat. Sepupu lelaki saya yang tinggal bersendirian di kediaman terbabit turut selamat dan akan menumpang di rumah kami dahulu kerana rumahnya musnah.
"Saya menganggap ia sebagai ujian untuk Ramadan kali ini," katanya ketika dihubungi, di sini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Mohd Azmi Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.20 pagi dan sepasukan anggota bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, rumah berkenaan dianggarkan mengalami kemusnahan sebanyak 90 peratus, dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Keadaan rumah yang terbakar dalam kejadian di Kampung Bechah Menerong, di sini, jam 8.15 pagi tadi. FOTO Ihsan Nor Syuhada Mohd Nor
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... t-daripada-terbakar
|
|