|
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP Bahagian Operasi dan Baitulmal, Dr Asmadi Abdul Rahman, mengagihkan juadah berbuka puasa kepada komuniti rentan pada Program Iftar Mahabbah di Jalan Wong Ah Jang, Kuantan. - Foto NSTP/KHAIRULMIZAN YAHYA
KUANTAN: Nasib komuniti rentan di Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar, di sini, terus dibela apabila 1,000 juadah berbuka diagihkan secara percuma kepada mereka setiap hari.
Inisiatif itu dilaksanakan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), dengan kerjasama Pertubuhan Dapur Infaq Ummah (Dapur Infaq) menerusi Program Iftar Mahabbah.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP Bahagian Operasi dan Baitulmal, Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata Program Iftar Mahabbah kini masuk tahun ketiga ia dilaksanakan.
"Setiap tahun MUIP memperuntukkan sebanyak RM80,000 disalurkan melalui Dapur Infaq bagi menyediakan juadah berbuka kepada golongan berkenaan.
"Walaupun mereka ini memang kita beri bantuan bulanan, untuk Ramadan ini, kita sediakan juadah berbuka. Ia sedikit sebanyak meringankan beban mereka," katanya pada pelancaran program terbabit di Jalan Wong Ah Jang, di sini.
Turut hadir, Pengasas Dapur Infaq, Badrul Jamili Kamaruddin.
Asmadi berkata, selain agihan makanan berbuka puasa, MUIP juga menyediakan bantuan dalam bentuk barangan asasi, yang diberikan kepada ketua isi rumah komuniti sekitar kawasan berkenaan.
Sementara itu, Badrul Jamili berkata, selain program berkenaan, mereka turut melaksanakan pelbagai program lain untuk komuniti rentan di Surau Al-Hidayah di Lorong Wong Ah Jang.
"Kita ada imam khas di surau ini untuk memimpin solat, termasuk tarawih, selain guru untuk kendalikan pelbagai program bukan sahaja pada bulan puasa tetapi setiap hari sejak 2019 lagi.
"Selain itu, kita juga mengadakan kelas mengaji dua kali seminggu iaitu pada hari Selasa dan Jumaat, khusus untuk anak komuniti rentan di kawasan ini," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... tuk-komuniti-rentan |
|