COLUMBIA: Seperti kisah dalam filem blockbuster Hollywood, seorang wanita di Colombia menjadi tumpuan media selepas berjaya melakukan tindakan yang gagal dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Wanita yang tidak dinamakan itu dianggap wira oleh polis dan wartawan tempatan. Dia berjaya membalas dendam kematian suaminya dan membawa pembunuhnya ke muka pengadilan.
Wanita tersebut yang kehilangan suaminya di tangan ketua penjenayah tempatan, menghabiskan masa bertahun-tahun merancang membalas dendam dengan menggoda suspek dan mengumpul bukti yang cukup bagi memastikan dia di tahan atas pelbagai jenayah.
Bagaimanapun dia bukanlah seorang pejuang jenayah, sebaliknya hanya seorang balu yang masih bersedih dan berikrar membalas dendam terhadap lelaki yang telah membunuh suaminya.
Suspek yang dikenali sebagai Rubén Darío Viloria Barrios menyamar sebagai pedagang yang dihormati di bandar Ciénaga de Oro dan kebanyakan orang yang mengenalinya menyifatkan dia sebagai seorang alim.
Namun, di sebalik tabir, dia ialah Juancho, ketua penjenayah yang mendalangi penghantaran narkotik ke Amerika Tengah dan AS, mengarahkan percubaan pembunuhan terhadap saingan dan memperdagangkan senjata api dan peluru.
Selepas berkabung, wanita menyusup ke dalam lingkungan sosial Juancho, perlahan-lahan mendekatinya dan akhirnya membuatkan dia jatuh cinta pada dirinya.
Viloria Barrios akhirnya semakin mempercayai wanita itu sehingga dia berkongsi maklumat tentang urusan jenayahnya.
Semua maklumat ini diserahkannya kepada pihak berkuasa yang sudah sekian lama mengesyaki kegiatan jenayah Juancho.
Tanpa bukti cukup untuk mensabitkannya, mereka tidak berdaya bertindak.
Diburu oleh Interpol, Juancho pasti merengkok dalam penjara berdekad lamanya.
Bagi wanita yang menjadi punca kejatuhannya, dia sudah berpuas hati kerana berjaya membalas dendam terhadap kematian suaminya.
|