View: 4733|Reply: 0
|
[Johor]
Syukur makin derita, tubuh bersisik, berkudis
[Copy link]
|
|
SYUKUR meneruskan kehidupan atas ihsan jiran di Blok 31, Taman Cendana. FOTO Mary Victoria Dass
Pasir Gudang: "Sebagai jiran, saya memang bersimpati melihat keadaan Syukur, semakin lama keadaannya semakin teruk termasuk tubuhnya bersisik," kata penduduk di Taman Cendana, Muharam Ahmad, 58.
Muharam berkata, kehidupan mualaf itu yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan bisu, Syukur Low Abdullah, 43, ibarat jatuh ditimpa tangga.
Menurutnya, lelaki bujang yang memeluk Islam pada 15 April 2020 itu pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya dan mengalami keretakan tempurung kepala.
Katanya, tidak lama selepas memeluk Islam, bapa Syukur yang tinggal bersama di Blok 31, Taman Cendana, di sini, meninggal dunia menyebabkan dia tinggal sebatang kara.
"Sebelum ini Syukur bekerja di kilang dan dia seorang yang mudah mesra serta menghormati jiran.
"Bagaimanapun kami terkilan apabila mendapati dia mengalami penyakit kulit kronik dan difahamkan penyakit itu sudah lama.
"Sejak beberapa bulan lalu, penyakit kulitnya menjadi semakin serius dengan kesan tompokan kemerahan selain kulitnya menjadi bersisik dan berkeping-keping menyebabkan penderitaannya bertambah serta sukar bergerak," katanya.
Muharam berkata, buat masa ini, Syukur yang juga penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 meneruskan kehidupan atas ihsan jiran.
Menurutnya, jiran turut menghulurkan sumbangan makanan selain kadang-kala membantu menguruskannya.
"Jika jiran tidak membantu dia mungkin kebuluran dan akibat komplikasi kesihatan, dia juga tidak dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna.
"Apa yang menjadi kebimbangan kami, keadaan Syukur semakin buruk dan boleh kritikal pada bila-bila masa.
"Akibat kecacatan kaki berikutan kemalangan sebelum ini, Syukur juga tidak dapat menaiki kereta hingga menyukarkan kami menghantarnya ke hospital," katanya.
Keadaan Syukur yang serba kekurangan itu menerima perhatian daripada Presiden Pertubuhan kebajikan Gabungan NGO Wanita Pasir Gudang, Shahriah Ismail dan Ketua Zon 1, Taman Cendana Ismail Ibrahim yang melawat lelaki itu hari ini.
Shahriah berkata, keadaan Syukur seharusnya diberi perhatian segera bagi membolehkan lelaki itu mendapatkan rawatan sesuai.
Menurutnya, sekiranya keadaan Syukur bertambah baik, JKM juga seharusnya menawarkan tempat perlindungan kepadanya berikutan keadaan fizikalnya.
"Rumah didiami itu dalam keadaan kotor dan berbau walaupun difahamkan pernah dibersihkan oleh jiran.
"Keadaan itu dikhuatiri boleh mengakibatkan jiran lelaki itu mengalami jangkitan kuman dan sesuatu tindakan seharusnya dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan agensi berkaitan," katanya ketika ditemui.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... h-bersisik-berkudis |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|