|
Johor Bahru : Polis menahan seorang lelaki yang berkelakuan seolah-olah samseng jalan raya selepas disyaki mengugut dan melakukan khianat dengan melanggar kereta pemandu lain, semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, suspek warga tempatan berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira 4 jam selepas polis menerima maklumat tentang kejadian terbabit.
"Pada jam 2.15 petang semalam, mangsa yang juga seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun sedang memandu kereta di persimpangan lampu isyarat di kawasan Pasir Gudang.
"Keretanya kemudian dihimpit sebuah kereta lain yang dipandu suspek yang kemudian bertindak melanggar bahagian belakang kereta mangsa.
"Suspek dan mangsa kemudian memberhentikan kereta di tepi jalan dan suspek telah mengeluarkan sebatang besi serta mengugut untuk memukul mangsa," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kejadian didapati berpunca apabila suspek tidak berpuashati kereta
dipandu mangsa memotong kereta dipandunya.
Oleh itu, katanya, bertindak atas maklumat, kira-kira jam 6.20 petang semalam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam telah membuat tangkapan ke atas suspek di kawasan Pasir Putih, Pasir Gudang.
"Rampasan barang milik mangsa dan senjata yang digunakan saspek turut dilakukan iaitu sebuah Perodua Myvi dan sebatang besi sepanjang 60 sentimeter (cm).
"Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan suspek kini ditahan reman empat hari bermula hari ini hingga Selasa ini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 506, Kanun Keseksaan dan Seksyen 427, Kanun Keseksaan," katanya.
Pada masa sama, Mohd Sohaimi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa bertolak ansur, bertimbang rasa sesama pengguna jalan raya dan mematuhi peraturan serta undang-undang bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -samseng-jalan-raya |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|