|
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/bas-ekpress-terbakar-re.jpg)
ANGGOTA bomba bertungkus lumus berusaha memadamkan kebakaran sebuah bas ekspres di Jalan Tuanku Abdul Halim, Petaling Jaya, tengah malam tadi. - FOTO/IHSAN BOMBA
PETALING JAYA: Kira-kira 20 penumpang dan seorang pemandu sebuah bas ekspres terselamat selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbakar di Jalan Tuanku Abdul Halim dekat sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.00 malam itu, kesemua penumpang dan pemandu bas sempat keluar menyelamatkan diri.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Fadil Hesam Mohamed berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan panggilan kecemasan pada pukul 10.23 malam.
“Seramai 17 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul dan Sri Hartamas bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Fadil Hesam berkata, setibanya di lokasi, pihaknya mendapati kejadian kebakaran melibatkan sebuah bas ekspres dua tingkat dengan kemusnahan kebakaran dianggarkan 50 peratus.
Katanya, bas itu dalam perjalanan dari KL Sentral menghala ke Jalan Jalan Tuanku Abdul Halim.
“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 11.47 malam dan padam sepenuhnya pukul 12.09 tengah malam.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” jelasnya. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... penumpang-terbakar/ |
|