View: 271|Reply: 0
|
[Negeri Sembilan]
Jerebu: Batal aktiviti luar kelas, tutup sekolah bila perlu
[Copy link]
|
|
SEREMBAN: Pihak sekolah perlu membatalkan semua aktiviti luar bilik darjah jika bacaan indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 101, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ling.
Beliau berkata, tindakan itu ialah prosedur operasi standard (SOP) sedia ada Kementerian Pendidikan (KPM) dan surat pekeliling turut dikeluarkan di setiap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk tindakan lanjut.
"Sekiranya bacaan IPU meningkat hingga 200 ke atas, KPM akan mengarahkan sekolah ditutup. Bacaan IPU 101 ke atas adalah tidak sihat, jadi jika ia berlaku, sebarang aktiviti di luar bilik darjah tidak dibenarkan.
"Pada masa sekarang, semua pelajar dinasihatkan memakai pelitup muka, kerap minum air serta mengurangkan aktiviti ketika cuaca panas," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (SJKC) Kampung Baru Rahang, di sini hari ini.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, jerebu dijangka lebih serius tahun ini berbanding dalam tempoh tiga tahun lalu apabila aktiviti perladangan dan industri kembali beroperasi seperti sedia kala.
Terdahulu, Hui Ling turut melawat SJK Tamil (SJKT) Lobak dan SJKC San Min bagi menyampaikan bantuan RM200,000 setiap sekolah untuk pembangunan dan penyelenggaraan peluasan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan, terdapat 4,620 sekolah yang mempunyai sekurang-kurangnya satu kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU), sama ada susur landai, susur tangan, tandas OKU dan parkir OKU.
"KPM sedang meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai bagi pemantauan secara berkesan serta berterusan demi memastikan semua sekolah dilengkapi kemudahan dan infrastruktur bersesuaian untuk murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) selaras piawaian ditetapkan," katanya.
Menurutnya, KPM juga menyediakan laluan khas bagi calon MBPK mengikuti pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam pelbagai bidang pengkhususan untuk keperluan di sekolah rendah.
"Calon MBPK yang ingin memohon hendaklah sihat tubuh badan, boleh mengurus diri sendiri, aktif dalam kegiatan kokurikulum dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.
Katanya, seramai 62 graduan dalam bidang Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran akan menamatkan pengajian di IPG pada Mei ini. - BERNAMA
Pemandangan bangunan Perdana Putra di Putrajaya hari ini yang diselubungi jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 82. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
https://www.bharian.com.my/berit ... -sekolah-bila-perlu |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|