View: 202|Reply: 0
|
[Johor]
'Harap dapat sambut Aidilfitri bersama ibu'
[Copy link]
|
|
Johor.19 April 2023. Norazlina menunjukkan surat yang diberikan ibu kandung pada 20 tahun lalu. Gambar oleh Mary Victoria Dass
Kulai: "Saya memasang impian untuk menyambut Aidilfitri yang bakal tiba beberapa hari lagi bersama ibu kandung namun sehingga kini usaha menjejaknya di Kulai masih gagal," kata pembantu pengurus syarikat swasta, Norazlina Mohamed Zin, 35.
Norazlina berkata, berikutan kesempitan hidup, ibu kandungnya menyerahkannya kepada kenalan ketika masih bayi.
Menurutnya, dia pernah bertemu dengan ibu kandungnya, Noriah Bachok ketika berusia 15 tahun dan pertemuan berkenaan merupakan detik yang tidak dapat dilupakan.
Katanya, pertemuan berkenaan yang ditemani keluarga angkat di majlis di Kulai singkat namun amat bermakna bagi dirinya.
"Ketika pertemuan itu di sebuah kediaman berhampiran bangunan rumah kedai dan sekolah, ibu menyampaikan sekeping surat kepada saya yang mencatat isi hatinya dan ia dijadikan kenangan sehingga kini.
"Dia juga memaklum bekerja di hotel di Senai dan terpaksa menyerahkan saya kerana memiliki 13 cahaya mata namun kasih sayangnya terhadap saya tidak pernah pudar.
"Saya sempat bertemu dengan kakak kandung ketika itu yang memiliki wajah mirip saya namun selepas pertemuan itu kami terus terputus hubungan sehingga kini kerana ketika itu tiada kemudahan telefon bimbit dan sebagainya," katanya.
Norazlina berkata, dia bagaimanapun bersyukur memiliki keluarga angkat yang penyayang terutama bapa angkatnya, Mustafa Samad yang kini berusia 70-an selain empat orang abang angkat.
Menurutnya, impiannya untuk bertemu semula dengan ibunya tidak pernah terkubur serta dia juga pernah menjalankan usaha menjejaki wanita berkenaan yang berusia anggaran 60-an di Kulai sebelum ini.
Katanya, kini dia menetap bersama anak dan suami di Klang manakala bapa angkatnya tinggal di Melaka selain ibu angkatnya sudah meninggal dunia ketika dia berusia 11 tahun.
"Kebiasaannya pada Aidilfitri kami akan berkumpul di kediaman lama bapa angkat di Seremban dan saya amat berharap dapat bertemu dengan ibu kandung.
"Saya mahu memberi penjagaan kepadanya sekiranya berpeluang serta mengubati kerinduan selama ini.
"Saya tidak mendapat kasih sayang seorang ibu sepenuhnya seperti orang lain dan apabila melihat individu lain keluar membeli-belah dengan ibu, saya berasa sayu.
"Harap Allah mengatur pertemuan kami dan diharap orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan keluarga kandung menghubungi saya di talian 010-3837334," katanya ketika ditemui, hari ini.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... ilfitri-bersama-ibu |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|