|
Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut dibunuh rakan sekerja yang dipercayai mabuk ketika berada di asrama pekerja di Kawasan Perindustrian Jalan Sungai Besi, Cheras, di sini.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu selepas dihubungi pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada jam 6 pagi, kelmarin,
Menurutnya, mangsa warga India berusia 43 tahun itu dikatakan dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan cedera di muka dan kepala.
"Bertindak atas maklumat itu, polis menahan tujuh lelaki warga asing berusia antara 22 hingga 57 tahun yang juga rakan sekerja mangsa di sebuah premis besi buruk di Kawasan Perindustrian Jalan Sungai Besi di sini.
"Saksi yang disoal siasat memaklumkan menemui suspek iaitu seorang lelaki warga asing berusia 37 tahun dalam keadaan berlumuran darah di hadapan bilik mangsa.
"Sebaik pintu bilik dibuka, mangsa ditemui terbaring dengan kesan kecederaan di muka. Saksi kemudian segera memaklumkan kejadian itu kepada majikannya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, tadi.
Zam Halim berkata, majikan terbabit kemudian membawa mangsa ke HCTM untuk menerima rawatan.
"Namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.
"Difahamkan semasa rakan sekerja mangsa cuba mengikat suspek atas arahan majikan, lelaki itu cuba membunuh diri.
"Susulan itu polis menahan suspek utama terbabit yang turut dirawat di wad pemantauan Unit Kecemasan HCTM," katanya.
Menurutnya, polis turut merampas sebatang besi yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu.
"Ketika kejadian, suspek dikatakan dalam keadaan mabuk dan motif pembunuhan masih dalam siasatan," katanya.
Beliau berkata, lapan individu yang ditahan termasuk suspek utama direman selama tujuh hari bermula 19 hingga 25 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/20423hazreen1_1681966723.jpg)
ZAM Halim Jamaludin. FOTO Hazreen Mohamad
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... k-punca-bunuh-kawan |
|