|
Pertahanan Inter Milan, Federico dimarco meraikan jaringan golnya ketika menentang Juventus. - Foto AFP
MILAN: Juara bertahan, Inter Milan mara ke pentas final Piala Itali selepas menewaskan Juventus 1-0 untuk mara ke kemuncak kejohanan dengan agregat 2-1.
Federico Dimarco menjaringkan gol tunggal selepas menerima hantaran Nicolo Barella di San Siro.
Ia adalah gol kelima buat pemain Itali itu bagi musim ini bersama pasukan sekali gus meneruskan cabaran Inter dalam saingan peringkat piala.
Pasukan kendalian Simone Inzaghi pernah memenangi Piala Super Itali dan memperoleh peluang untuk mempertahankan Piala Itali di Rom pada 24 Mei ini dengan kemungkinan besar bertemu Fiorentina.
Mereka juga dalam persiapan untuk pertembungan tetangga menentang AC Milan dalam saingan Liga Juara-Juara.
Pengurus Inter Milan, Simone Inzaghi (kanan) memeluk penyerang pasukannya, Romelu Lukaku sejurus tamat perlawanan menentang Juventus. - Foto AFP
"Pasukan saya layak ke final selepas dua aksi peringkat ini," kata Inzaghi. "Kami kini berbaki 10 perlawanan bagi musim ini, harap akan ada satu lagi (final)."
Dalam pada itu, pengendali Juve, Massimiliano Allegri berkata: "Kami perlu 'mengecas bateri' semula, kerana kami tewas empat daripada lima perlawanan Serie A dan terkeluar saingan piala." - AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... e-final-piala-itali |
|