|
Pengendali Arsenal, Mike Arteta (kiri) dan jurulatih Manchester City, Pep Guardiola. - Foto ihsan Marca
Kebimbangan penyokong Arsenal terhadap prestasi pasukan mereka ketika saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) semakin menghampiri garisan penamat, kian menjadi realiti.
Kekalahan 1-4 kepada penyandang juara, Manchester City pada pertengahan minggu, jelas meletakkan kelab bimbingan Mikel Arteta pada kedudukan sukar untuk menggapai impian bergelar juara.
Malah dengan bilangan aksi hanya berbaki lima perlawanan lagi, peluang The Gunners seakan-akan sudah berkubur ketika pesaingnya, City memiliki kelebihan besar memintas mereka.
Ini kerana selepas 33 aksi, mereka hanya mendahului liga dengan kelebihan dua mata ke atas pesaingnya itu yang berbaki tujuh aksi. Ketika ini Arsenal menghimpun 75 mata manakala 73 dimiliki skuad Pep Gurdiola.
Secara relatifnya, City hanya perlu menang enam daripada baki tujuh aksi lagi untuk bergelar juara. Gunners sebaliknya pula perlu memenangi semua lima baki aksi sambil berharap skuad Guardiola tercicir mata dua kali.
Dalam kata mudah, Arsenal kini memerlukan keajaiban untuk bergelar juara musim ini. Dan malangnya, mereka tidak boleh lagi mengharapkan kudrat sendiri, sebaliknya ihsan tujuh pasukan yang bakal dihadapi City.
Esok, City akan memulakan buruan pertahan kejuaraan dengan menyambut kunjungan Fulham, diikuti West Ham pada 4 Mei, Leeds (6 Mei), Everton (14 Mei), Chelsea (21 Mei), Brighton (25 Mei) dan Brentford (28 Mei).
Melihat kepada senarai pasukan yang bakal dihadapi, City seharusnya tiada masalah mengutip mata penuh dengan aksi menentang Chelsea pada 21 Mei mungkin jadi pentas untuk mereka bergelar juara.
Mungkin kekangan utama skuad Guardiola menuju ke garis penamat ini dengan cemerlang adalah aksi separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid pada 11 Mei dan 18 Mei.
Sementara itu, lima aksi terakhir menanti Arsenal selepas ini adalah menentang Chelsea pada 3 Mei, diikuti Newcastle (7 Mei), Brighton (14 Mei), Nottingham Forest (21 Mei) dan Wolves (28Mei)
Aksi menentang Newcastle harus dianggap berat berikutan kelab itu memburu empat teratas liga yang menyediakan tempat ke pentas Eropah. Begitu juga, aksi bertemu Forest kerana lawannya berjuang untuk tersingkir dari EPL musim depan.
Dan jika tersilap langkah, Gunners boleh tersungkur awal dari buruan kejuaraan sekiranya gagal mengekang Chelsea awal pagi Rabu ini.
Dalam pada itu, peluang Liverpool untuk ke Eropah juga kembali cerah. Sekarang skuad Jurgen Klopp menghimpun kutip 53 mata daripada 32 aksi untuk menduduki tempat ketujuh, hanya ketinggalan satu mata di belakang Aston Villa (54 mata 33 aksi) dan Tottenham (54 mata 33 aksi) di tempat kelima.
https://www.bharian.com.my/sukan ... iban-bergelar-juara |
|