View: 188|Reply: 0
|
[Johor]
Sindiket seludup PATI guna dron canggih RM30,000
[Copy link]
|
|
SINDIKET penyeludupan PATI menggunakan dron selain khidmat tonto untuk menyalurkan maklumat pergerakan pihak berkuasa.
KOTA TINGGI – Sindiket penyeludupan dikesan menggunakan dron canggih memantau keadaan sekitar untuk memastikan kawasan perairan ‘selamat’ sebelum menyusup masuk atau keluar melalui jalan tikus.
Pemangku Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, seiring dengan perkembangan semasa, penjenayah turut tidak ketinggalan memanfaatkan teknologi terkini untuk memudahkan kegiatan mereka.
“Kita juga dapat laporan bukan setakat bot, tetapi sindiket menerbangkan dron untuk pantau kawasan itu selamat atau tidak. Kita juga dapat maklumat bila berbincang dengan pihak tentera memang penjenayah ini menggunakan dron.
“Jadi teknologi penjenayah lagi canggih daripada kita. Mereka sudah menggunakan dron sejak beberapa tahun lalu, masa Covid-19 melanda juga sudah ada.
“Dron yang dipakai juga adalah dron yang canggih yang berharga sekitar RM25,000 ke RM30,000 ke atas, maknanya penjenayah ini memang memiliki banyak duit,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, sindiket bukan sahaja melakukan penyeludupan PATI, tetapi turut melakukan kegiatan penyeludupan dadah, rokok dan hidupan liar di bawah lindungan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Jelasnya, biasanya sindiket yang membawa masuk PATI akan berpatah balik semula membawa barangan yang ada permintaan tinggi di Indonesia begitu juga di Malaysia.
“Contohnya Malaysia permintaan tinggi untuk PATI tetapi di Indonesia pula, syabu dadah dari Malaysia dapat permintaan tinggi. Jadi bisnes mereka bukan sahaja PATI tetapi pelbagai.
“Mereka terutamanya tekong laut yang membawa bot akan dibayar sindiket antara RM3,000 sehingga RM5,000, bergantung kepada jumlah dan jenis barang kontraban yang diseludup,” katanya.
Mohd. Najib juga tidak menafikan sindiket mengupah tonto yang terdiri daripada komuniti laut setempat untuk menyalurkan pergerakan pihak berkuasa.
Jelasnya, pada kebiasaannya apabila bot pihak berkuasa keluar untuk melakukan operasi, tonto ini akan memberi maklumat kepada sindiket ini.
“Sebab itulah kadang-kadang pergerakan kita dapat dihidu sindiket dan operasi kita menemui kegagalan,” katanya.
Sindiket menggunakan modus operandi dengan mengumpulkan PATI dari seluruh Malaysia yang mahu pulang ke kampung halaman di Indonesia bagi menyambut Ramadan atau hari raya.
Pakej yang disediakan juga lebih murah, selamat dan terjamin dengan harga bergantung kepada jarak atau negeri mana PATI itu datang antara RM2,000 sehingga RM2,500.
BOT kecil yang digunakan oleh sindiket penyeludupan untuk membawa PATI dari Johor ke Indonesia.
Dalam pada itu, Mohd. Najib berkata, sindiket mengubah modus operandi dengan menggunakan bot-bot kecil.
“Sebelum Covid-19 baru-baru ini, pihak berkuasa berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan PATI yang boleh dianggap berskala besar.
“Ketika itu mereka mengangkut PATI dengan menggunakan bot pancung yang lebih besar yang boleh menampung antara 30 hingga 60 orang.
“Setelah sindiket ini berjaya ditumpaskan, pada 2021 iaitu negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), statistik menunjukkan tiada tangkapan ke atas PATI,” katanya.
Ujarnya, sindiket menukar strategi menggunakan bot-bot kecil untuk membawa penumpang haram mereka pulang ke Indonesia melalui laluan tikus di perairan Johor Timur.
Jelasnya, bot-bot yang digunakan sindiket hanya mampu memuatkan antara lima sehingga 10 individu dalam satu-satu masa.
Katanya, kaedah ini diguna pakai kerana beranggapan lebih mudah, selamat dan pantas.
“Tidak dinafikan memang wujud lorong tikus terutamanya di perairan Johor Timur yang merangkumi jajaran seluas 84.46 kilometer persegi merentasi perairan di Tanjung Leman sehingga ke Pasir Gudang,” katanya. -KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2023/04 ... on-canggih-rm30000/ |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|