|
AIRIEL Syahren disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat ‘septic shock secondary to meningoencephalitis’ di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.
Kluang: Kanak-kanak lelaki 12 tahun di daerah ini meninggal dunia semalam selepas disyaki mengalami simptom strok haba.
Airiel Syahren Syahrol disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat 'septic shock secondary to meningoencephalitis' di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini kira-kira jam 7 pagi.
Bapanya, Syahrol Azmi Mohd Hekak, 42, berkata anak kedua daripada empat beradik itu mengalami simptom demam tidak berpeluh, kekejangan otot, muntah, terkencing, terberak dan meracau kira-kira 10 malam Ahad lalu.
Katanya, pada mulanya Airiel Syahren termasuk adik lelakinya berusia sembilan tahun dan ibu mereka mengalami demam biasa.
"Pada malam kejadian dia mengejutkan saya dan menyuruhnya tidur di ruang tamu mungkin kerana di bilik itu sejuk.
"Selepas itu saya dengar macam bunyi benda jatuh dan kemudian saya dapati dia mengalami kekejangan di ruang tamu," katanya.
Menurut Syahrol, dia menghubungi talian 999 sebelum disambungkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom.
"Pihak hospital ada tanya, apakah anak saya ada sawan? Lagilah saya panik, tetapi pihak hospital beritahu supaya mengiringkan badan anak saya itu, jangan bagi dia makan atau minum dan tunggu ambulans sampai.
"Dalam tempoh itu, anak saya meronta-ronta sampai terberak, terkencing dan seperti menahan kesakitan. Adiknya juga mengalami perkara sama tetapi dalam beberapa minit sahaja," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bentong di sini.
Katanya, jam 7 pagi, dia mendapat panggilan daripada petugas HEBHK supaya membeli lampin pakai buang buat anaknya namun tidak lama kemudian dia mendapat panggilan kedua yang menyuruhnya segera datang ke wad.
"Ketika meninjau di katil anak, saya terkejut kerana anak saya sedang dipam di dadanya oleh kakitangan di situ.
"Kemudian dua orang doktor memanggil saya ke bilik mereka dan menerangkan anak saya mengalami simptom strok haba hingga menyebabkan buah pinggang terjejas, X-ray dadanya berwarna putih selain terkena radang otak," katanya.
Katanya, tidak menyangka anak yang disifatkan sebagai pendiam, suka tersenyum dan ringan tulang membantu keluarga itu, pergi terlalu cepat.
"Jangan ambil mudah jika anak-anak anda mengalami demam, jangan fikir lagi soal ada duit atau tidak, segera hantar mereka mendapatkan rawatan di hospital," katanya.
Katanya, anak ketiganya, Aidil Syahren, 9, kini sudah stabil dan masih berada di wad HEBHK.
"Anak saya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bentong selepas Zohor," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... erbaharu-strok-haba |
|