|
Bachok: Bekalan gula tidak berdepan masalah di negeri ini sejak dua minggu lalu apabila kebanyakan premis termasuk kedai runcit memiliki stok barangan keperluan harian itu.
Tinjauan Harian Metro di kedai runcit sekitar Pasir Hor dan Pasar Besar Siti Aishah, Jelawat, di sini, mendapati kesemua premis terbabit mempunyai bekalan gula.
Peniaga Siti Nur Azham Abdul Hadi, 43, berkata bekalan gula pulih sepenuhnya sejak dua minggu lalu.
Menurutnya, bekalan yang ada mencukupi untuk memenuhi permintaan pelanggan.
"Alhamdulillah, bekalan gula tidak pernah putus dan ada setiap hari sejak masalah terputus bekalan sebelum ini kembali pulih.
"Bagi saya yang jual secara runcit, saya akan membuat pesanan untuk dua hari sekali dengan jumlah 36 kilogram (kg). Bekalan itu dapat bertahan dalam masa dua hari sebelum membuat pesanan berikutnya," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Pekerja kedai runcit di Pasir Hor, Nur Anis Sofia Mohd Zulkifli, 21, berkata bekalan gula premis tempat dia bekerja tidak mempunyai masalah apabila sampai beberapa kali dalam seminggu.
Nur Anis Sofia menunjukkan bekalan gula yang cukup ketika tinjauan di Pasir Hor hari ini. FOTO HIDAYATIDAYU RAZALI
"Alhamdulillah, setakat ini masalah kekurangan gula tidak timbul kerana stok ada setiap hari dan pengguna boleh mendapatkan bekalan ini dalam kuantiti yang mereka mahukan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, bekalan gula pulih sejak dua minggu lalu apabila kesemua enam pemborong besar di negeri ini mempunyai stok mencukupi untuk diagihkan.
Katanya, bekalan kepada pemborong besar juga sampai setiap hari sekali gus dapat menampung keperluan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... di-kelantan-metrotv |
|