|
Kuala Terengganu: Keadaan cuaca tidak menentu termasuk ribut dan laut bergelora menyebabkan berlaku kekurangan bekalan ikan apabila hanya segelintir nelayan turun ke laut.
Kekurangan bekalan makanan laut menyebabkan peniaga terpaksa mendapatkan bekalan dari luar Terengganu bagi memenuhi permintaan.
Tinjauan Harian Metro di Pasar Chabang Tiga, di sini, hari ini mendapati harga ikan sedikit menurun berbanding minggu lalu.
Pada minggu lalu, harga ikan selayang, aya, cencaru dan selar kuning antara RM14 hingga RM16 satu kilogram (kg), malah ada yang mencecah sehingga lebih RM20 1kg seperti kembung disebabkan kekurangan bekalan.
Peniaga, Mohd Ridzuan A Wahab, 42, dari Kampung Gelugor Haji Tahir, di sini, berkata berlaku peningkatan dan penurunan harga, tetapi hanya sekitar RM1 hingga RM2 sahaja.
Katanya, peningkatan harga berlaku disebabkan nelayan tidak turun ke laut kerana bimbang keadaan laut yang tidak boleh dijangka.
CUACA tidak menentu menyebabkan berlaku peningkatan dan penurunan harga ikan. FOTO Zaid Salim
"Cuaca yang tidak menentu ketika ini menyebabkan keadaan laut adakala bergelora, ribut datang secara tiba-tiba. Jadi nelayan yang turun ke laut tidak ramai menyebabkan berlaku kekurangan bekalan ikan.
"Di darat panas, tapi di laut adakalanya hujan, berangin dan bergelora," katanya ketika ditemui, di sini.
Katanya, buat masa ini peniaga terpaksa mendapatkan bekalan ikan dari luar Terengganu.
"Hari ini bekalan ikan banyak sedikit berbanding minggu lalu, tetapi pembeli pula kurang," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -terengganu-metrotv |
|