View: 207|Reply: 0
|
[Kelantan]
Warga emas didenda RM7,000 sebabkan kemalangan babit 15 mangsa
[Copy link]
|
|
Tertuduh, U Hussim Uan Harun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tuan Tengku Shahrizam Tuan Lah. FOTO PDRM
Gua Musang: Seorang warga emas didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas pertuduhan memandu secara tidak cermat hingga menyebabkan kemalangan membabitkan 15 mangsa, bulan lalu.
Tertuduh, U Hussim Uan Harun, 66, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tuan Tengku Shahrizam Tuan Lah.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM7,000 atau tujuh bulan penjara sekiranya gagal membayar jumlah berkenaan, selain mengarahkan lesen memandu tertuduh direkodkan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu secara tidak cermat atau tanpa perhatian munasabah sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain di simpang tiga di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, 2 petang, 10 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 dan boleh dihukum penjara 12 bulan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ahmad Firdaus Abdul Hamid.
Dalam kejadian 10 April lalu, seramai 15 murid cedera apabila van dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori balak dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di simpang tiga hadapan IPD Gua Musang.
Kemalangan berpunca daripada sebuah kereta jenis Kia Spectra yang keluar simpang untuk membelok ke kanan, namun dilanggar oleh treler muatan balak yang datang dari arah kanan.
Akibat daripada perlanggaran menyebabkan treler tidak dapat mengawal kenderaan dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh tiga kenderaan iaitu Perodua Myvi, Honda Civic dan van Nissan Urvan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... gan-babit-15-mangsa |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|