|
Nurul Aina (kiri) dan Nur Azuraida, 40, (kanan) melihat rumah mereka yang hampir musnah dalam kebakaran di Kampung Rumbia, Beserah, Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya.
Kuantan: Empat beradik termasuk tiga daripadanya orang kurang upaya (OKU) tinggal sehelai sepinggang apabila rumah peninggalan ibu bapa mereka di Kampung Rumbia, Beserah, di sini, hangus dalam kebakaran, semalam.
Ketika kejadian pada 5.58 petang itu, ketiga-tiga beradik OKU berusia antara 20 hingga 35 tahun berada di rumah manakala seorang lagi ahli keluarga sedang bekerja.
Keluarga terbabit terdiri daripada tujuh beradik dan lima daripadanya adalah OKU sementara ibu bapa mereka sudah meninggal dunia pada 24 April 2022 dan 18 Mac lalu.
Anak kelima, Nurul Aina Fitrah Abd Rani, 28, menggalas tanggungjawab menjaga tiga adik beradiknya yang OKU, manakala dua beradik lagi di jaga oleh kakak sulung mereka, Nur Azuraida, 40, yang tinggal di Klang, Selangor.
Menceritakan detik cemas itu, Nurul Aina berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas diberitahu kakak sulungnya melalui WhatsApp dan dia terus pulang ke rumah yang terletak tidak jauh dari rumah.
"Ketika tiba di lokasi didapati api sudah marak namun saya lega apabila kakak dan dua adik saya yang OKU berjaya keluar selamatkan diri.
"Daripada cerita mereka, adik lelaki yang berada di dalam bilik lain melihat asap lalu keluar memberitahu kakak sebelum wanita itu keluar menjenguk melalui tingkap dan mendapati suis elektrik sedang terbakar.
"Dia kemudian masuk semula ke dalam rumah dan menarik dua adik keluar melalui pintu dapur," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Sementara itu, Nur Azuraida berkata, dia terus pulang ke kampung sebaik mengetahui mengenai kejadian itu dan mengakui walaupun sedih kerana berdepan dugaan berganda (kematian ayah dan kebakaran rumah) tahun ini, tetapi dia reda malah bersyukur adik-adiknya selamat.
"Paling terkilan apabila semua barangan peribadi milik arwah ayah yang kami simpan rapi di dalam biliknya sebagai kenangan hangus sama sekali dan tak mungkin kami akan dapat kembali," katanya.
Menurutnya, buat masa ini dia akan menjaga kelima-lima adiknya yang OKU manakala Nurul Aina akan menumpang di rumah saudara berdekatan kerana bekerja.
"Memang kami bercadang untuk membaiki semula rumah ini namun mungkin akan dibuat sikit-sikit bergantung pada keadaan kewangan," katanya.
Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Andansura Rabu.
Andansura berkata, pihaknya menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan akan berusaha mendapatkan bantuan sewajarnya bagi meringankan beban mereka selain akan mengadakan gotong-royong membersihkan rumah terbabit dalam masa terdekat.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... klum-rumah-terbakar |
|