|
Kuala Nerus: Pesakit tibi yang berhenti mengambil rawatan dan enggan meneruskan rawatan boleh berdepan tindakan mengikut perundangan di negara ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, individu atau pesakit tibi terbabit boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Beliau berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan terhadap 12 individu yang berhenti rawatan dalam tempoh empat tahun lalu.
"Rawatan bagi penyakit tibi adalah kombinasi empat jenis antibiotik dan perlu diambil secara berterusan selama enam bulan.
"Justeru, pesakit tibi yang enggan atau berhenti meneruskan rawatan boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah akta yang sedia ada," katanya selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Dewan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Norhayati Rusli dan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong.
Lukanisman berkata, pihaknya juga mempunyai beberapa langkah terhadap mereka yang meninggalkan rawatan terbabit termasuk mencari dan mengesan pesakit.
"Selain itu, kita juga menubuhkan Mychampion yang mana sukarelawan di bawah KKM untuk membantu mengesan mencari mereka yang berhenti atau tidak datang mendapatkan rawatan," katanya.
Dalam pada itu, Lukanisman berkata, pada tahun lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan terdapat 10.6 juta kes tibi di seluruh dunia dan 1.6 juta kematian.
Beliau berkata, di negara ini, jumlah kes yang dilaporkan pada 2022 ialah 25,391 kes (kadar notifikasi 77.8 bagi setiap 100,000 penduduk) dengan peningkatan sebanyak 3,664 kes (17 peratus) berbanding 21,727 kes (kadar notifikasi 63.5 setiap 100,000 penduduk) pada 2021.
"Sehingga Minggu Epidemiologi ke-18, jumlah kumulatif kes tibi yang dilaporkan adalah 8,876 kes berbanding 7,127 kes pada tempoh sama 2022 iaitu peningkatan sebanyak 1,749 kes (24.5 peratus).
"WHO menganggarkan kadar insiden tibi di negara ini adalah 97 setiap 100,000 penduduk iaitu 30,000 kes setahun. Namun, kadar insiden yang dilaporkan di negara ini masih rendah berbanding anggaran WHO," katanya.
Lukanisman berkata, jumlah kematian tibi di negara ini pada 2022 adalah 2,572 kematian (kadar kematian 7.9 setiap 100,000 penduduk).
"Kadar ini meningkat sebanyak 284 kematian iaitu 12 peratus berbanding 2,288 kematian pada tahun 2021 (kadar kematian 6.9 setiap 100,000 penduduk).
"Sehubungan itu, usaha bagi saringan awal penyakit tibi membabitkan individu yang mempunyai risiko tinggi seperti kontak kepada kes tibi, pesakit HIV, penyakit buah pinggang kronik, penyakit pulmori kronik, perokok aktif dan penghuni institusi tahanan perlu dipertingkatkan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... an-tindakan-metrotv |
|