View: 259|Reply: 0
|
[Negeri Sembilan]
'2021 kami kahwin semula'
[Copy link]
|
|
Asmar, 30-an, ketika ditemubual pada Program Bicara Wanita anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Galeri Diraja Tunku Jaafar Seremban, di sini, baru-baru ini. FOTO Ahmad Hasbi
Seremban: Walaupun usianya baru mencecah 30-an, ibu kepada seorang anak ini sudah melalui pelbagai dugaan sepanjang alam berumah tangga angkara suaminya mengalami masalah ketagihan dadah.
Malah, kehidupan wanita mahu dikenali sebagai Asmar diuji kerana pernah dihalau dari rumah pada awal pagi, mangsa keganasan rumah tangga, naik turun mahkamah dan diceraikan ketika anak baru berusia dua tahun.
Bagaimanapun, wanita ini tekad kembali bersatu dengan suami untuk mengubah hidup lelaki itu demi anak sehingga dinobatkan sebagai Wanita Pejuang Kepulihan Dadah oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Asmar berkata, dia mengesan suaminya terjebak dengan ketagihan dadah sejak zaman mereka bercinta tetapi meneruskan hasrat untuk berkahwin pada usia 21 tahun kerana amat menyintai lelaki itu.
"Secara dasarnya, dia memang lelaki yang baik dan tidak mengabaikan saya mahupun anak. Cuma apabila dia berhalusinasi atau tidak dapat 'barang', kami sering bergaduh dan saya beberapa kali dipukul.
"Ketika itu kami menetap di Kuala Lumpur dan disebabkan ketagihan dadah, kami dihalau keluar pada awal pagi oleh pemilik rumah menyebabkan saya pulang ke kampung di Masjid Tanah, Melaka.
"Sepanjang dua tahun berkahwin dan mendapat seorang anak lelaki, pelbagai dugaan dilalui termasuk kehilangan duit. Akhirnya kami bercerai selepas lebih dua tahun berkahwin," katanya.
Asmar berkata demikian ketika ditemui pada Program Bicara Wanita anjuran AADK di Galeri Diraja Tunku Jaafar Seremban di sini.
Katanya, selepas kira-kira lapan tahun bercerai, dia akhirnya memutuskan untuk berkahwin semula dengan lelaki berkenaan meskipun sedar dugaan yang bakal dilalui.
"Sepanjang berpisah dia memang tidak abaikan nafkah anak dan kami ada berjumpa ketika dia meluangkan masa dengan anak namun saya tahu dia masih mengalami masalah ketagihan dadah.
"Pada 2021, kami berkahwin semula. Saya lakukan ini demi anak dan sayangkan dia, malah abang menasihatkan saya jika ini jalan yang dipilih, saya harus perbaiki dia.
"Malah, saya sendiri meletakkan syarat, jika mahu kembali bersatu, saya mahu dia (suami) berubah dan akhirnya dia bersetuju untuk masuk ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Sungai Besi secara sukarela," katanya.
Katanya, dia dihubungi AADK yang memaklumkan apa yang dilalui dan dilakukan terhadap suaminya wajar diberi pujian kerana ia bukan perkara mudah.
"Suami terjebak dengan najis dadah pada awal 20-an lagi. Malah ada satu tahap, kesan pengambilan dadah seperti sudah lali pada badannya.
"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dia akhirnya mahu berubah," katanya.
Ada wanita ambil dadah kerana marahkan suami
Terjebak ke jalan salah ketika mencari ketenangan akibat tekanan dikesan menjadi antara faktor golongan wanita terbabit dengan najis dadah.
Pengarah Rawatan Perubatan dan Pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Siti Mariam Mursyidan berkata, terdapat banyak faktor mengakibatkan wanita terjerumus dalam ketagihan dadah termasuk berpunca daripada suami.
"Penagih (dadah) ini semua golongan ada, lelaki, wanita, tua, muda dan remaja. Kebanyakan wanita masuk ke pusat pemulihan berpunca daripada diri sendiri, kawan, pasangan (hidup) dan tekanan persekitaran.
"Namun berdasarkan maklumat, kebanyakannya daripada tekanan dihadapi. Dia (golongan wanita) kemudian menjadi pelarian dalam mencari ketenangan.
"Sepatutnya jumpa orang betul untuk selesai masalah, namun jumpa orang yang salah dan benda tidak betul kononnya dadah boleh tenangkan fikiran dan selesai masalah," katanya.
Katanya, terdapat juga golongan wanita yang terjebak dengan najis dadah disebabkan pasangan masing-masing yang mengalami masalah ketagihan bahan terlarang itu.
"Ada yang terjebak disebabkan suami. Berdasarkan pengalaman saya menemui lima wanita yang mengalami masalah ketagihan, segalanya berpunca daripada pasangan mereka.
"Ada terpengaruh, mengikut perbuatan suami, ada juga yang mengambil dadah kerana marah kepada suami yang menjadi penagih dan terdapat kes mahu merasai apa yang pasangan lakukan," katanya.
Bagaimanapun, katanya, jumlah penagih dalam kalangan wanita di negara ini kurang daripada 10 peratus daripada keseluruhan penghuni yang menerima rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen).
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... -kami-kahwin-semula |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|