|
Rakan karib, Sofea Khadijah Mohd Hanafi (kiri) dan Norzulaika Mohd Latiff (kanan) teruja apabila menerima keputusan cemerlang 9A+ dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan di Sekolah Tun Fatimah Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Johor Bahru: Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dari Sekolah Tun Fatimah (STF) di sini, yang memperoleh keputusan cemerlang 9A+ berkongsi cabaran Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika pandemik Covid-19.
Sofea Khadijah Mohd Hanafi, 18, berkata, walaupun berdepan pelbagai kekangan ketika PdPR, ia tidak menghalangnya untuk memperoleh keputusan cemerlang, malah memberitahu pastinya dia sedih jika gagal mendapat keputusan semua A.
Dia mengakui, belajar secara PdPR cukup mencabar dan perlu kuat semangat untuk mendapat kejayaan cemerlang demi keluarga dan sekolah.
Katanya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, dia masih di tingkatan tiga dan konsep pembelajaran tanpa bersemuka diteruskan sehinggalah ke tahun lalu.
"Cabaran belajar secara PdPR perlu ada disiplin tinggi kerana tiada guru yang memantau, berbeza jika belajar di dalam kelas, mudah bertanya guru jika tidak faham.
"Waktu belajar PdPR pula bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari dan kemudian diikuti dengan membuat latihan sehingga jam 3 petang.
"Jika ujian atas talian juga, memang bergantung kepada usaha sendiri, ada yang buka buku, tetapi saya tidak kerana mahu uji kemampuan diri," katanya.
Terdahulu, Sofea Khadijah bersama 155 calon SPM 2022 diraikan pada majlis pengumuman keputusan SPM 2022 di STF di sini, hari ini.
Hadir pada majlis itu, Pengetua STF, Noor Hayati Yusoff dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Datuk Yahya Jaafar.
Ditanya perancangan untuk menyambung pengajian, anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia mahu menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Malaya (UM) kerana mahu mengikut jejak langkah bapanya yang juga seorang doktor.
Sementara itu, bagi Nurzalika Mohd Latiff, 18, walaupun berdepan kesukaran yang sama ketika belajar secara tidak bersemuka, namun guru-gurunya banyak membantu.
"Saya meminati bidang kewangan dan mahu menyambung pengajian di Amerika Syarikat.
"Saya bersyukur memperoleh keputusan cemerlang dan dapat membanggakan kedua ibu dan ayah saya," katanya yang turut memperoleh 9A+.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... keputusan-cemerlang |
|