CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 269|Reply: 0

[Melaka] ‘Gorgon’ lembu sado dengan berat satu tan jadi tarikan pengunjung

[Copy link]
Post time 26-6-2023 10:37 AM | Show all posts |Read mode

LEMBU sado jenis piedmontese yang diberi nama Gorgon dipamerkan di Melaka Agrofest 2023 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, Melaka.



MELAKA: Kehadiran seekor lembu sado jenis piedmontese berasal dari Itali di Melaka Agrofest 2023 yang berlangsung di Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini, cukup mengujakan para pengunjung terutama kanak-kanak yang bertandang ke situ.

Manakan tidak, meskipun haiwan yang diberi nama ‘Gorgon’ itu mempunyai saiz badan besar dan berotot berbanding lembu biasa dengan berat mencecah 1,000 kilogram atau satu tan, ia tidak agresif sebaliknya mesra dengan orang ramai yang mengerumuninya.

Pemiliknya, Maszuli Marito, 51, berkata, sifat lembu sado sememangnya manja berbanding lembu biasa yang mana haiwan itu suka dibelai serta tidak cerewet.

Jelasnya, berdasarkan pengalaman hampir tujuh tahun menternak spesis berkenaan, beratnya boleh mencecah satu tan bagi jantan dan 600 kilogram untuk betina.

“Ramai orang beranggapan lembu sado ini agresif kerana rupa parasnya yang besar berbanding lembu kampung biasa. Tapi, sebenarnya tidak, ia lebih mudah diuruskan dan mesra dengan manusia.

“Kaedah penjagaan juga tidak cerewet kerana lembu sado ini hanya makan rumput dua kali sehari, mandi juga dua kali sehari. Kita juga ada berikan vitamin sebagai makanan tambahan untuk mengelakkan penyakit dan meningkatkan kesihatannya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Melaka Agrofest 2023 merupakan penjenamaan semula Hari Peladang, Penternak dan Nelayan yang berlangsung selama tiga hari berakhir semalam.

Tambah Maszuli, seekor lembu sado dengan berat satu tan boleh dijual pada harga RM30,000 bergantung kepada baka haiwan tersebut.

Ujarnya, setakat ini dia memiliki enam jenis baka lembu sado diimport dari Itali, Perancis, Belgium dan Australia yang sesuai diternak mengikut iklim Malaysia.

“Ramai yang bertanya kepada saya, banyak atau tidak kos makanan untuk lembu ini, jawapannya tidak kerana lembu sado jantan hanya sekitar RM15 sehari dan RM10 untuk betina,” jelasnya.-UTUSAN

https://www.utusan.com.my/berita ... tarikan-pengunjung/
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-2-2025 06:15 AM GMT+8 , Processed in 0.035842 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list