|
MOHD Kamarudin (kanan) menunjukkan rampasan pelbagai jenis dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
Shah Alam: Polis merampas 222 kilogram dadah yang dianggarkan bernilai RM7.42 juta dalam dua serbuan di sekitar Lembah Klang, minggu lalu.
Dalam serbuan dua hari itu, polis turut menahan tiga lelaki berusia 38 hingga 47 tahun yang disyaki terbabit dalam pengedaran dadah berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya mendapati ketiga-tiga suspek aktif dengan kegiatan dadah sejak awal tahun ini di sekitar Lembah Klang.
Beliau berkata, serbuan pertama dijalankan pada jam 6 petang, 5 Julai lalu di sebuah rumah di Sepang dan polis menahan seorang lelaki berusia 44 tahun.
Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas 47.8 kilogram dadah jenis methamphetamine serta ketamin dianggarkan bernilai RM1.62 juta.
"Dalam operasi berasingan 6 Julai lalu, polis menyerbu sebuah inap desa di Shah Alam pada jam 3.40 petang dan menahan dua lelaki berusia 38 dan 47 tahun.
"Hasil serbuan kita merampas 174.2 kilogram dadah jenis methamphetamine dan pil yaba yang dianggarkan bernilai RM5.8 juta.
"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam kedua-dua operasi ini adalah 222 kilogram yang dianggarkan bernilai RM7.42 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis turut menyita dua kenderaan masing-masing jenis Kia dan Toyota Hilux selain dua bentuk cincin serta seutas jam tangan bernilai RM87,705.
Mohd Kamarudin berkata, dadah berkenaan disyaki diperoleh dari utara Semenanjung berdasarkan paket pembungkusannya.
"Modus operandi mereka adalah menjadikan premis kediaman termasuk inap desa sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan dalam pasaran," katanya.
Menurutnya, sekiranya dadah itu terlepas dalam pasaran, ia boleh digunakan lebih 1.1 juta penagih.
Katanya, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek yang ditahan membabitkan dua sindiket berbeza dengan polis masih mengesan dalang sebenar.
"Polis juga masih menjalankan siasatan menyeluruh sama ada mereka terlibat dalam kumpulan kongsi gelap.
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif methamphetamine namun kesemua mereka tiada rekod jenayah lampau.
"Kesemua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... lai-rm742-juta-dira |
|