|
Kuala Lumpur: Tindakan seorang tahanan lelaki melarikan diri dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi tidak berhasil apabila dia berjaya diberkas semula dalam tempoh empat jam.
Lelaki berusia 45 tahun itu bertindak lari ketika hendak menaiki lori polis untuk dibawa ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta, pada jam 9.40 pagi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek bagaimanapun diberkas semula di Jinjang pada jam 1.50 tengah hari hari sama.
"Di tengah kesibukan kota Kuala Lumpur adalah amat sukar untuk kita (polis) mengesan dan menangkap semula suspek ini.
"Namun dengan berbekalkan kelebihan yang ada suspek ini dapat ditahan dalam tempoh empat jam selepas dia melarikan diri," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis turut menjalankan siasatan terhadap enam anggota polis yang terbabit penugasan membawa suspek dari IPD Dang Wangi ke mahkamah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, pihaknya sedang meneliti sama ada wujud kelalaian dalam melaksanakan tugas oleh anggota.
"Kertas siasatan sudah dibuka dan selepas itu kami akan menimbang tindakan yang bakal diambil terhadap anggota polis terbabit sekiranya didapati mereka cuai atau lalai," katanya.
Terdahulu tular dua video di aplikasi Telegram yang menunjukkan suspek melarikan diri dengan memanjat pagar belakang IPD Dang Wangi dan melintas jalan di hadapan Kompleks Wilayah menuju ke arah pusat beli-belah Jakel.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... elum-dicekup-semula |
|