|
MOHD Isa bersama replika bot. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Lumut: Seorang nelayan mempamerkan kreativiti apabila menghasilkan replika bot pukat tunda dan bot pukat jerut daripada bongkah kayu terbiar sekali gus menjadi punca rezeki sampingannya sejak 26 tahun lalu.
Hasil seni tangan Mohd Isa Sirun, 51, itu kemudian dipamerkan di kedai makan yang diusahakan isterinya.
Mohd Isa berkata, pembabitannya dalam penghasilan kraf berkenaan adalah secara kebetulan apabila terjumpa sebongkah kayu pulai yang hanyut ketika pulang dari menangkap ikan.
"Arwah ayah saya seorang pembuat sampan untuk nelayan, jadi minat dan kemahiran bertukang itu saya warisi daripada beliau. Tapi minat kepada penghasilan replika ini tercetus daripada orang kampung semasa saya kecil lagi.
"Sebelum ini ada nelayan yang mahir buat replika, memang cantik. Dari situ saya terinspirasi dan teringin nak buat juga, cumanya ketika itu saya masih kecil serta kekangan alatan.
"Semasa usia saya 25 tahun, saya terjumpa bongkah kayu pulai. Saya teringat itulah jenis kayu yang orang sebut-sebut sesuai dijadikan replika," katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Pinang Besar, Pulau Pangkor.
Bapa kepada enam anak itu berkata, dia berbangga kerana dapat memanfaatkan hobi yang kemudiannya mampu menjadi sumber pendapatan.
"Replika bot pukat tunda dan bot pukat jerut ini saya buat menggunakan pelbagai bahan termasuk jaring dan kepingan akrilik bagi dijadikan aksesori tambahan seperti jaring pukat, kabin dan tong ikan agar ia kelihatan 'real'.
"Pada mulanya, saya buat hanya untuk memenuhi minat sendiri. Tetapi mungkin kerana pelanggan yang datang ke kedai mula bercakap-cakap, maka ramai individu, jabatan dan agensi kerajaan yang membuat tempahan," katanya.
Lebih membanggakan, kerja pembuatan replika ini turut disokong oleh isteri, Zaripah Ismail, 52, bagi mengisi lapangnya.
"Setiap satu replika bot ini mengambil masa satu bulan setengah hingga dua bulan untuk disiapkan memandangkan kerjanya yang rumit dan perlu teliti," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... n-hasil-replika-bot |
|