|
PEMERIKSAAN dilakukan pegawai JAIS bersama MPKL di bahagian jualan ayam pasar raya di Banting.
Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan produk 'ayam tebuk' di sebuah pasar raya di Bukit Changgang, Banting yang tular di media sosial tidak mempunyai sijil halal yang sah.
Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pengesahan itu diperoleh selepas pemeriksaan pasukan Penguatkuasaan Halal Jais bersama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), semalam.
"Hasil pemeriksaan mendapati premis bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.
"Premis juga didapati melakukan penyalahgunaan Logo Halal Malaysia kerana mempamerkan logo tanpa memiliki SPHM keluaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Siasatan dan tindakan lanjut dibuat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, manakala hukuman bagi suatu pertubuhan perbadanan ialah denda tidak melebihi RM200,000," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shahzihan berkata, Jakim menawarkan sembilan skim pensijilan halal yang boleh dimohon iaitu skim produk makanan dan minuman, premis makanan, kosmetik, farmaseutikal, barang gunaan, logistik, rumah sembelihan, pengilangan kontrak dan peranti perubatan.
"Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati semasa membeli barang keperluan harian dengan mengutamakan produk-produk yang mendapat pensijilan halal.
"Sebarang keraguan mengenai status halal boleh membuat semakan melalui portal halal Jakim di www.halal.gov.my. Jika ada sebarang penyelewengan boleh diadukan kepada Seksyen Penguatkuasaan Halal Jais di talian 03-5514 3726/ 3760 atau talian hotline 011-5582 0212," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... k-tiada-sijil-halal |
|