|
ZULFADLI Syahrul diijabkabulkan dengan Norfarrah Syahirah Shaari pada 23 Julai lalu. FOTO Ihsan Zulfadli Syahrul
Teluk Intan: "Kalau benar saya kejar populariti, mengapa saya 'live' (bersiaran langsung) guna TikTok isteri?," kata Zulfadli Syahrul.
Zulfadli, 33, memberi reaksi itu selepas menerima kecaman ketika bersiaran langsung di TikTok, malam Rabu lalu.
Menurutnya, dalam sesi siaran langsung itu, ada segelintir netizen mempersoalkan niatnya berkahwin dengan Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal, Norfarrah Syahirah Shaari, 35, yang kudung kedua belah tangan sejak lahir.
Bukan setakat itu, Zulfadli berkata, ada juga yang mengeluarkan kata ugutan kerana bimbang dia mensia-siakan isterinya.
"Alhamdulillah, ramai beri komen positif dan terima baik perkahwinan saya dengan isteri.
"Tapi dalam sesi 'live' baru-baru ini, ada yang sindir kenapa saya saya guna akaun isteri.
"Ada juga keluarkan komen berbaur ugutan dan jujurnya memang tersinggung dengan kata-kata mereka itu.
"Bagi saya, tak salah nak ingatkan saya cuma boleh saja gunakan kata-kata yang baik," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menceritakan perubahan selepas berumah tangga, Zulfadli berkata, pengikutnya di laman sosial bertambah sejak berkahwin dengan Norfarrah Syahirah.
"Sebenarnya, tak pandai sangat 'bermain' laman sosial malah privasikan akaun (laman sosial) yang ada sebelum ini.
"Tapi kini, pengikut bertambah dan saya okay saja cuma terkejut dengan sambutan diterima.
"Kepada yang mendoakan, terima kasih saya ucapkan dan hargai sangat doa dititipkan itu. Moga doa yang baik berbalik kepada mereka juga," katanya yang belum ada perancangan pergi berbulan madu dalam tempoh terdekat.
Zulfadli berkata, dia menganggap pertemuan dengan Norfarrah Syahirah dalam perkenalan mereka yang singkat itu sebagai anugerah terindah dalam hidupnya.
"Saya bersyukur kerana impian berkahwin dengan isteri termakbul dan menerima seadanya kerana sedar diri ini juga tidak sempurna.
"Saya ikhlas memperisterikan dia. Norfarrah Syahirah seperti bidadari kayangan buat saya.
Zulfadli selamat melangsungkan pernikahan dengan Norfarrah Syahirah di Bagan Datuk, Perak pada 23 Julai lalu.
Terdahulu, Zulfadli mengikat tali pertunangan dengan Norfarrah Syahirah pada 20 November tahun lalu.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... a-anugerah-terindah |
|