View: 1190|Reply: 0
|
[Negeri Sembilan]
'Sampai sekarang belum ada air paip'
[Copy link]
|
|
EPA menunjukkan bekas air yang disediakan bagi untuk membasuh tangan di D'Contena Taman Bukit Coral Height. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
Seremban: Peniaga D' Contena Taman Bukit Coral Height, Sikamat, di sini, mengeluh kerana terpaksa berhadapan dengan ketiadaan air sejak Mac dan sistem perparitan yang sering kali tersumbat di tapak perniagaan itu.
Peniaga air, Nurul Amin Ishak, 56, berkata, bagi mendapatkan air bersih, dia terpaksa pergi ke mesin air tapisan di kawasan berdekatan.
Katanya, bagi tujuan mencuci pinggan mangkuk pula, mereka akan menggunakan tiga tangki air statik yang dihantar oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS) kira-kira tiga kali seminggu.
"Sejak kami buka kedai Mac baru-baru ini, sampai sekarang belum ada air paip. Penyelesaiannya bagaimana?
"Keperluan air itu penting bagi saya kerana saya berniaga, asasnya adalah air. Sebab itu saya nak pihak MBS atau Kerajaan Negeri Sembilan membantu peniaga yang ada di sini," katanya ketika ditemui.
Terdapat kira-kira 22 gerai peniaga di D' Contena Taman Bukit Coral Height.
Nurul Amin berkata, dia juga sebelum ini ada bertanyakan kepada MBS dan dimaklumkan bahawa bekalan air paip akan dimasukkan pada Disember tahun ini.
Katanya, perkara seperti ini sepatutnya tidak berlaku kerana keperluan asas seperti air perlu ada sebelum peniaga mula beroperasi pada Mac.
"Patutnya keperluan air paip itu sudah ada dulu sebelum peniaga masuk," katanya.
Selain itu katanya, peniaga juga menghadapi masalah sistem perparitan yang sering kali tersumbat.
"Kalau ikutkan selalu tersumbat. Kitalah peniaga yang ambil inisiatif untuk bersihkan. Kalau kami tak bersihkan akan berbau," katanya.
Seorang lagi peniaga, Epa Apriani, 33, berkata, dia terpaksa mengangkat air bagi tujuan membasuh pinggan mangkuk.
"Kalau ada air paip kita basuh di sinki dan tak perlulah mengangkat air.
"Memang payah. Mana ada orang berniaga nak kena angkat air," katanya.
Katanya, ada dalam kalangan pelanggan juga mempersoalkan kepada mereka di mana memperoleh air bersih disebabkan ketiadaan air paip.
"Ada juga pelanggan yang mengadu bahawa apabila mereka mahu ke tandas, air paip tiada dan terpaksa mengambil air daripada tangki disediakan," katanya.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, mengikut perancangan asal, pembinaan tapak perniagaan itu tidak menetapkan tangki air.
Bagaimanapun katanya, keperluan untuk pembinaan tangki air itu sudah diluluskan dan akan dibina dalam masa terdekat.
"Telah diluluskan dan akan dibina dalam masa terdekat," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -belum-ada-air-paip |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|