View: 1264|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
SPRM guna kamera badan, elak pegawai ditohmah
[Copy link]
|
|
PEGAWAI operasi SPRM menunjukkan kamera badan ketika Majlis Pelancaran Pemakaian Kamera Badan di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Putrajaya: Penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjalankan operasi tangkapan, penyitaan dan penggeledahan, akan dilengkapi dengan pemakaian kamera badan (BWC) bagi melindungi agensi itu daripada sebarang tohmahan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini pihaknya membeli 142 unit BWC dengan peruntukan terhad untuk dibekalkan kepada pegawai operasi yang penting.
Bagaimanapun, katanya, dengan penambahan bajet yang diterima daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, SPRM akan menambah pembelian BWC berikutan risiko rosak akibat kekerapan penggunaan yang tinggi.
"Di zaman serba canggih ini, mereka yang berniat jahat tanpa rasa tanggungjawab menggunakan saluran media sosial untuk menyebarkan propaganda atau tohmahan jahat kepada pegawai SPRM.
"Akibatnya, reputasi dan imej SPRM terjejas teruk dan berdepan risiko tindakan undang-undang yang tidak berasas. Pemakaian BWC adalah untuk menunjukkan ketelusan kita dalam menjalankan tugas dan menghindarkan daripada sebarang tohmahan yang tidak betul," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Body-Worn Camera (BWC) dan Vest SPRM, di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dan Pengarah Kanan Siasatan Datuk Seri Hishamuddin Hashim.
Azam berkata, pemakaian BWC bertujuan untuk merekod secara audio dan visual setiap peristiwa yang berlaku ketika proses siasatan sedang dijalankan oleh SPRM.
Katanya, ia termasuk bagaimana suspek atau saksi dikendalikan oleh pegawai SPRM sepanjang tempoh siasatan.
"Saya percaya, dengan penggunaan BWC ini, ia akan memastikan setiap pegawai SPRM termasuk mereka yang membantu siasatan atau suspek, akan sentiasa dilindungi oleh undang-undang.
"Sekiranya berlaku sebarang tohmahan berkaitan dengan tingkah laku pegawai SPRM yang tidak profesional ketika menjalankan tugasan siasatan di lapangan, rakaman BWC ini boleh dijadikan sebagai rujukan bagi mengesahkan tohmahan berkenaan," katanya.
Katanya, penggunaan BWC di SPRM sudah dimulakan secara projek rintis sekitar Disember 2022.
"Pengurusan Tertinggi SPRM mendapat maklum balas positif daripada pelaksanaan program rintis ini dan memutuskan supaya penggunaan BWC ini diperluaskan ke seluruh SPRM bahagian dan negeri.
"BWC ini akan diagihkan kepada semua sektor operasi di SPRM Ibu Pejabat dan negeri secara berperingkat," katanya.
Mengulas lanjut, Azam berkata, pembelian BWC juga tidak menelan belanja tinggi berikutan alat itu dibeli terus daripada pembekal berdasarkan harga pasaran.
"Kalau beli sistem, ia akan disimpan dalam bentuk data, tapi disebabkan kita nak jimatkan masa dan lebih praktikal, kita guna kamera ini secara sendirian yang mana kad SD akan disimpan bagi rujukan jika ada keperluan untuk ke mahkamah," jelasnya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ak-pegawai-ditohmah |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|