|
Kain rentang Perdana Menteri yang dikoyakkan di Jalan Raja Musa. FOTO tular
Tanjong Karang: Polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian kain rentang wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dirosakkan di simpang keluar Jalan Parit Serong, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian itu berlaku pada 20 Julai lalu.
"Satu laporan dibuat pada hari yang sama susulan insiden itu," katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, tular di laman sosial poster Anwar yang diletakkan di Sungai Gulang-Gulang menjadi mangsa vandalisme dengan bahagian muka dikoyakkan.
Sementara, calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (Dun) Mohd Yahya Mat Sahri berkata, pihaknya turut mengesan kejadian sama di simpang Jalan Raja Musa.
"Saya ingat (Sungai Gulang-Gulang) itu (lokasi) kelima, selain itu ada juga di Parit Serong dan ketua kampung sudah membuat laporan polis.
"Poster dan papan iklan Perdana Menteri dipasang awal lagi sebelum pembubaran Dun lagi.
"Saya rasa benda ini tidak molek (cantik) sekali," katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati satu sama lain ketika berkempen dan tidak merosakkan bahan kempen calon lawan.
"Kalau benda itu anak muda yang buat maknanya orang tua kena tegur. Kalau orang tua yang buat, maknanya kena insaf.
"Itu gambar Perdana Menteri. Anak kecil pun tahu.. takkan kita orang tua tak tahu itu, kena hormat tak kisah siapa yang pasang itu isu lain," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ah-anwar-dirosakkan |
|