PEKERJA membersihkan lumpur di gudang susulan banjir akibat hujan lebat di bandar Zhuozhou, utara China. FOTO AFP
Beijing: Lebih 30 maut dan 18 masih hilang di Beijing, selepas banjir susulan hujan paling lebat dalam rekod selama beberapa hari, baru-baru ini.
Hujan lebat mencetuskan banjir melanda ibu negara China itu juga menyebabkan kira-kira 59,000 rumah roboh dan 150,000 yang lain rosak, turut merosakkan infrastruktur lain serta menjejaskan tanah pertanian seluas 15,000 hektar, lapor Al Jazeera.
Pegawai pada Rabu berkata, angka kematian akibat banjir di dalam dan sekitar ibu negara China, Beijing, meningkat kepada 33 mangsa, termasuk lima penyelamat, manakala 18 mangsa lagi masih hilang.
Menurutnya, sebahagian besar utara negara masih diancam oleh hujan lebat yang berterusan.
Naib Datuk Bandar Beijing, Xia Linmao berkata, banyak jalan dan lebih 100 jambatan turut rosak dalam bencana alam itu.
"Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada mereka yang meninggal dunia ketika menjalankan tugas dan mangsa," kata Linmao pada sidang akhbar, menurut penyiar rasmi negara CCTV.
Katrina Yu dari Al Jazeera yang melaporkan dari Beijing berkata, Taufan Doksuri melanda China lebih seminggu lalu tetapi tahap kemusnahan yang dibawa oleh banjir termasuk insiden bangunan runtuh, baru berlaku sekarang.
"Ini adalah bencana alam yang paling teruk. Kali terakhir ribut skala teruk seperti ini berlaku pada 2012.
"Persoalan sukar kini timbul, mengapa pengajaran daripada ribut sebelum ini tidak dipelajari dan mengapa bangunan serta jalan raya tidak diperkukuh untuk mengelakkan kerosakan teruk terjadi lagi," kata Yu.
Bahagian lain di China juga mengalami banjir besar, dengan banjir dilaporkan meragut banyak nyawa dan bencana di seluruh utara China yang dilanda hujan lebat sejak akhir Julai turut mengganggu kehidupan jutaan penduduk.
Ramai mangsa meninggal dunia akibat banjir seluruh utara China, dengan Beijing pada Jumaat lalu mengatakan 147 kematian atau mangsa hilang pada bulan lalu disebabkan oleh bencana alam.
Daripada jumlah itu, 142 maut disebabkan oleh banjir atau bencana geologi, kata Kementerian Pengurusan Kecemasan China.
Di wilayah Hebei yang berjiran dengan Beijing, 15 dilaporkan meninggal dunia dan 22 lagi hilang.
Sementara itu, di timur laut Jilin, seramai 14 maut dan seorang dilaporkan hilang pada Ahad.
Lebih jauh ke utara di Heilongjiang, media kerajaan melaporkan berpuluh-puluh sungai menyaksikan paras air naik melebihi 'penanda amaran' sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Banjir paling dahsyat dalam sejarah di China adalah pada tahun 1998, apabila meragut nyawa seramai 4,150 orang, kebanyakannya di sepanjang Sungai Yangtze.
Disiarkan pada: Ogos 10, 2023 @ 12:23pm
|