|
ANGGOTA APM melihat keadaan terkini di kawasan struktur runtuh di Jalan Kuchai Lama. FOTO Hazreen Mohamad
Kuala Lumpur: Pusat Perkhidmatan DAP Seputeh antara premis yang terjejas dalam kejadian runtuhan struktur konkrit di Blok A Bangunan Sri Desa Entrepreneur Park di Jalan Kuchai Lama, di sini, malam tadi.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, buat masa ini beliau akan mencari lokasi sesuai untuk dijadikan pusat perkhidmatan sementara.
"Pejabat saya berada di tingkat empat... bahagian paling atas di mana bahagian bumbung paling teruk terjejas.
"Buat masa ini kami tidak tahu kerosakan dalam pejabat kerana tidak dibenarkan masuk atas faktor keselamatan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya mengarahkan penutupan blok A yang terjejas atas faktor keselamatan sehingga laporan penuh diterima daripada jururunding bebas.
"Kita memastikan tiada orang keluar masuk di sekitar kawasan bencana sejak malam tadi dan setakat 10 pagi ini, petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pertubuhan Ikram Malaysia hadir untuk memeriksa bangunan.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati tingkat empat bangunan ini didapati tidak selamat dan kita benarkan pemilik premis di tingkat satu, dua dan tiga untuk mengalihkan barang penting secara berperingkat," katanya pada sidang akhbar, di sini.
Katanya, Badan Pengurusan Bersama (JMB) bangunan diarahkan untuk melantik jururunding bagi menilai tahap keselamatan premis terbabit.
"Sisa bangunan dikhuatiri akan jatuh, jadi saya menasihatkan orang ramai untuk menjauhi bangunan.
"Sekiranya laporan perunding bebas menyatakan bangunan ini selamat (untuk diduduki) dan boleh dibaiki, barulah pihak pengurusan bangunan dibenarkan mengalihkan sisa bangunan," katanya.
Mengulas lanjut, Amihizam berkata, jumlah kerugian sebenar hanya akan diketahui selepas laporan penuh dikeluarkan pakar berkenaan.
Katanya, mana-mana pemilik kenderaan yang mengalami kecederaan diminta untuk membuat laporan di balai polis berhampiran.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan 10 kenderaan rosak teruk akibat dihempap runtuhan konkrit di Blok A, bangunan Sri Desa Entrepreneur Park di Jalan Kuchai Lama, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur berkata, tiga jentera dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 9.59 malam.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... r-keselamatan-polis |
|