CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 851|Reply: 0

[Wilayah Persekutuan] Bantuan segera air bersih

[Copy link]
Post time 22-8-2023 11:39 AM | Show all posts |Read mode

KERJA menggali tanah untuk pembinaan telaga tiub bagi mengatasi masalah air di Kelantan.

Kuala Lumpur: Peruntukan tambahan RM800 juta untuk penyelesaian jangka pendek bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air di Kelantan dan Sabah dapat memberi banyak manfaat kepada penduduk di kedua-dua negeri berkenaan.

Ia kerana isu berkenaan berlarutan sejak sekian lama sedangkan bekalan air bersih adalah penting untuk kehidupan harian rakyat.

Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sebahagian rakyat dari kedua-dua negeri itu tidak dapat menikmati bekalan air bersih sepenuhnya meskipun negara merdeka hampir 70 tahun.

Kata beliau, berdasarkan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), keperluan menyediakan air bersih melangkaui air minuman, sanitasi dan kebersihan untuk menangani kualiti serta kemampanan sumber air, yang penting untuk kelangsungan kehidupan.

Menurutnya, bekalan air bersih bukan sahaja meningkatkan kualiti kehidupan malah membantu menaikkan taraf kesihatan masyarakat.

"Peruntukan tambahan itu membantu sebahagian rakyat di Kelantan dan Sabah (merangkumi tiga peratus penduduk negara ini) mendapat akses kepada bekalan air yang konsisten serta berkualiti.

"Ia mungkin dapat digunakan untuk menyediakan kolam tapisan dan loji rawatan air lebih lengkap, berkapasiti tinggi serta membaik pulih sistem paip, perigi dan saliran yang ada ketika ini.

"Peruntukan itu dapat digunakan untuk membuat kajian dan menyediakan blue-print lebih komprehensif mengenai bagaimana memperbaiki bekalan air berkualiti untuk jangka panjang," katanya.

Menurut Aimi lagi, dari sudut ekonomi, bekalan air bersih konsisten dapat merancakkan industri runcit, makanan dan juga sektor pelancongan di dua negeri terbabit.

Katanya, bekalan air bersih mampu menarik lebih ramai penduduk menyediakan perkhidmatan homestay (inap desa) kepada pelancong sekaligus membantu menjana pendapatan dan pemangkin ekonomi negeri berkenaan.

"Jika tiada air bersih konsisten, pengusaha hotel dan rumah penginapan perlu menyediakan kos tambahan bagi menyediakan bekalan air bersih untuk tetamu masing-masing

"Industri pelancongan antara pemacu ekonomi untuk memberi pendapatan kepada rakyat, jadi rugi jika isu bekalan air bersih tidak diatasi secepat mungkin bagi mengelakkan masalah lebih besar," katanya.

Menurutnya, terdapat banyak impak jika masalah air tidak dapat diatasi antaranya sukar menarik pelabur (tempatan dan dari luar) kerana ketiadaan infrastruktur lengkap.

Selain itu, katanya sasaran pembangunan seimbang seperti dimahukan dalam pelan Ekonomi Madani untuk merapatkan jurang pembangunan antara negeri perindustrian dan negeri mundur juga sukar dicapai.

Aimi berkata, pelan Dasar Ekonomi Madani oleh Kerajaan Perpaduan baru-baru ini antara lain mahu mencapai pembangunan seimbang iaitu merapatkan jurang pembangunan antara negeri perindustrian dan negeri mundur dari aspek pembangunan ekonomi.

"Justeru, ia bukan sahaja perlu merangkumi aspek air bersih dan berkualiti, tetapi juga menyediakan infrastruktur lain yang turut penting dalam pembinaan negara Malaysia makmur.

"Dalam belanjawan 2023 juga, 25 peratus diperuntukkan untuk belanjawan pembangunan, ia menunjukkan kepentingan aspek itu kepada negara.

"Pasti Kelantan mahupun Sabah antara negeri yang besar saiz wilayahnya, mereka memerlukan lebih sumber kewangan bagi membangunkan infrastruktur masing-masing.

"Harapan saya bukan sahaja pelaksanaan Ekonomi Madani menaik taraf infrastruktur, tetapi mentransformasikan pemikiran, menaik taraf kehidupan rakyat Malaysia ke arah menjadi ekonomi ketiga puluh terbesar dunia.

"Kita tidak mahu mempunyai infrastruktur bertaraf dunia, tetapi mentaliti rakyat Malaysia seperti negara dunia ketiga, justeru Ekonomi Madani mesti turut menjadi ejen transformasi mentaliti rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, aktivis kemanusiaan, Raja Shamri Raja Husin berharap dana besar itu diuruskan dengan baik dan cekap supaya pembaziran serta ketidakcekapan menguruskan amanah kerajaan pusat tidak berlaku.

Untuk itu, kata Raja Shamri, pendekatan atau modus operandi lama perlu diselesaikan dan dikemaskini sebelum dana berkenaan disalurkan supaya manfaat serta objektifnya tercapai.

"Dengan kata lain, sama ada dana itu disalurkan melalui agensi khas Kerajaan Pusat yang dibentuk atau Kerajaan Pusat mengambil tanggungjawab terus menguruskan perkhidmatan air di dua negeri berkenaan, di sebalik menyalurkan terus kepada kerajaan negeri.

"Ia antara alternatif yang boleh dilaksanakan," katanya.

Kerajaan Persekutuan Perpaduan sebelum ini memperuntukkan RM1.7 bilion kepada Kelantan, mengumumkan tambahan RM800 juta bagi menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu dan Sabah.

Peruntukan diterima Kelantan adalah untuk membina satu lagi loji rawatan air bagi mengimbangi permintaan dan bekalan harian air terawat di negeri terbabit.

Ia komitmen Kerajaan Perpaduan untuk memastikan penduduk di kedua negeri itu mempunyai akses kepada bekalan air konsisten dan berkualiti.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... n-segera-air-bersih
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

5-2-2025 11:44 AM GMT+8 , Processed in 0.036873 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list