View: 1556|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Peniaga, pemborong bantah pembinaan blok baru Pasar Borong Kuala Lumpur
[Copy link]
|
|
GABUNGAN persatuan dan operator Pasar Borong Kuala Lumpur menyerahkan petisyen kepada Prabakaran (empat kiri) di Kompleks Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO Amirudin Sahib.
Kuala Lumpur: Gabungan persatuan dan operator Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, hari ini menyerahkan petisyen kepada Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran bagi membantah projek pembangunan blok baharu pasar borong berkenaan yang terletak bersebelahan blok sedia.
Petisyen itu dihantar Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Kuala Lumpur; Persatuan Pemborong Ikan Melayu Selangor dan Wilayah Persekutuan; Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur serta Persatuan Pemborong Buah-buahan Kuala Lumpur.
Pengerusi Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Kuala Lumpur Sing Kian Hock yang mewakili mereka mendakwa projek berkenaan akan menjejaskan 448 peniaga sedia ada.
Katanya, projek pembangunan baharu itu akan membabitkan 168 gerai pemborong ikan, 216 pemborong sayur dan 64 pemborong buah-buahan.
"Blok ini (tempat perniagaan sedia ada) akan dikekalkan, mahu tambah lagi satu blok lagi yang difahamkan bernilai kira-kira RM150 juta dengan tambahan 300 gerai lagi untuk peniaga (lain).
"Sekarang jumlah peniaga sudah cukup. Perniagaan sudah jatuh teruk selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 sehingga kini ekonomi masih bermasalah.
"Sampai masa nanti (blok perniagaan baru beroperasi), habislah (peniaga sedia ada).
"Ia diburukkan lagi dengan warga asing yang berniaga di sekitar jalan di Pasar Borong Kuala Lumpur yang sudah lama berlaku," kata ketika menyerahkan petisyen bantahan berkenaan di Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Khas Pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri Muhammad Fikri Abd Aziz.
Sementara itu, Prabakaran berkata beliau akan menyerahkan petisyen berkenaan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh pada mesyuarat bersama ahli parlimen Kuala Lumpur, di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) esok.
Menurutnya, beliau tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai projek berkenaan, dan hanya dimaklumkan persatuan di Pasar Borong Kuala Lumpur.
"Tetapi tiga bulan lalu ada sesi libat urus bersama pemaju dan peniaga, namun saya dijemput oleh peniaga dan saya hadir serta nampak rancangan pemaju.
"Apa pun saya minta pihak DBKL atau Datuk Bandar berjumpa dengan peniaga atau persatuan di Pasar Borong Kuala Lumpur untuk berbincang dan semak semula untuk mendapatkan hala tuju yang sama," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan pengalaman pembangunan di Kuala Lumpur memang ada banyak pembangunan dilaksanakan tanpa pandangan atau nasihat menerusi sesi libat urus daripada yang terbabit.
Katanya, sebagai contoh di Pasar Selayang disebabkan ada masalah komunikasi dengan peniaga, tapak yang dibuat pemaju lebih kecil.
"Jadi saya selaku Ahli Parlimen bersama pegawai Perdana Menteri akan membawa isu ini untuk cari titik penyelesaian 'win-win situation' (menang-menang).
"Tarikh sebenar tapak cadangan di parkir sedia ada di sini mahu dibangunkan tidak diberitahu tetapi saya difahamkan akan bermula secepat mungkin jika mendapat kelulusan DBKL. Sebab ada bantahan, jadi masih tertangguh," katanya.
Selain itu, katanya, turut dipersoalkan adalah mengapa tender projek blok baru Pasar Borong Kuala Lumpur itu diberikan mandat kepada hanya satu syarikat dan tidak buat tender terbuka untuk memberikan peluang yang adil kepada pemaju berkelayakan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... borong-kuala-lumpur |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|