View: 1084|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Harga beras tempatan masih sama, beras import naik harga
[Copy link]
|
|
TIADA kenaikan harga beras SST 10 kg seperti didakwa di media sosial sebaliknya kenaikan harga beras ketika ini hanya membabitkan beras SSI. FOTO Hidayah Tanzizi
Kuala Lumpur: Tiada kenaikan harga beras Super Special Tempatan (SST) 10 kilogram (kg) seperti didakwa di media sosial sebaliknya kenaikan harga beras yang berlaku ketika ini hanya membabitkan beras Super Special Import (SSI).
Tinjauan Harian Metro mendapati harga beras SST masih sama iaitu antara RM26 sehingga RM28 mengikut gred dan jenama cuma bekalannya dilihat agak berkurangan.
Bagaimanapun beras SSI 10 kg yang sebelum ini dijual pada harga RM34 sejak lebih setahun lalu kini dinaikkan harga sehingga RM38, manakala harga beras 5 kg meningkat RM2 dan dijual harga RM20 ketika ini.
Pekerja kedai runcit dikenali sebagai Ahmad berkata, kenaikan harga beras cuma berlaku pada semua jenis beras SSI bermula sejak Jumaat lalu dan mereka sebagai peniaga terpaksa mengikut harga baru supaya tidak menanggung rugi.
Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada kenaikan harga beras SST biarpun bekalannya agak kurang selain harga beras timbang yang mana ia sehingga kini masih dijual pada harga RM3.50 sekilogram.
"Sejak lebih setahun lalu kami menjual beras SSI 10kg pada harga RM34 tetapi baru-baru ini dimaklumkan harga beras akan meningkat tahun ini dan bermula 1 September lalu harga baru jualan beras ialah RM38, manakala beras 5 kg naik RM2.
"Boleh dikatakan semua kedai runcit di kawasan ini akan meletakkan harga yang sama dan biasanya kami akan berbincang. Tapi setakat ini beras SST masih sama," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Katanya, setiap kali pelanggan datang dia akan beritahu harga beras SSI sudah naik dan mereka akan merungut tetapi masih ada yang tetap membeli kerana beras sangat diperlukan walaupun hanya ada SSI di kedai.
Sementara itu, peniaga pasar mini dikenali sebagai Ami, 29, berkata, harga beras SST di tempat pemborong biasa dilanggannya masih sama seperti sebelum ini dan dia masih boleh menjual antara RM13 hingga RM15.50 bagi 5kg mengikut jenama beras itu.
"Sebelum ini beras 5kg hanya naik RM0.50 saja dan biasanya beras 10kg ada kenaikan lebih sedikit iaitu RM1 tetapi untuk setakat ini masih belum ada kenaikan harga lagi," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM) Ismail Awang berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan kenaikan harga beras SST dan tidak menolak kebimbangan ketika ini adalah kerana harga beras SSI.
"Harga yang dinaikan mungkin harga beras SSI kerana beras import tiada harga kawalan dan mutu kualiti beras SSI ini adalah lebih baik dari beras tempatan SST (jadi harga lebih mahal). Kenaikannya mungkin kerana tukaran nilai wang asing dengan Ringgit Malaysia yang begitu merudum," katanya.
Katanya, pihaknya juga mencadangkan kerajaan dapat mewujudkan semula beras bantuan rakyat dalam norma baharu untuk golongan sasar miskin bandar dan luar bandar, golongan fakir merangkumi kumpulan B40 dan M40.
"Sekarang rakyat tertekan dengan sosio ekonomi yang meningkat, kehidupan agak sukar dan miskin bandar jadi cadangan itu dilihat dapat membantu rakyat dalam situasi ketika ini," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... s-import-naik-harga |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|