View: 1935|Reply: 0
|
[Selangor]
Lumpuh separuh badan, Fazrin cekal harungi kehidupan
[Copy link]
|
|
Fazrin Abu Bakar yang lumpuh separuh badan dan hidup sebatang kara. FOTO Asyraf Hamzah
Puncak Alam: Nikmat berjalan yang 'diambil' akibat kecederaan saraf tulang belakang atau Spinal Cord Injury empat tahun lalu menjadikan wanita ini tabah menjalani kehidupan sukar yang mencabar mental dan keupayaannya.
Ini kerana Fazrin Abu Bakar, 43, yang juga yatim piatu mengharungi suka duka hidup seorang diri sebagai orang kurang upaya (OKU) yang kini lumpuh separuh badan dan menggunakan bantuan kerusi roda sepenuhnya.
Kisah ketabahan dan kekuatan semangat Fazrin mendapat perhatian netizen apabila rakan senasibnya berkongsi cerita mengenai wanita tabah itu di akaun TikToknya yang mendapat sokongan positif ramai untuk Fazrin terus kuat.
Berkongsi cerita, Fazrin berkata, pada mulanya dia terlantar di katil selama setahun kerana mengalami jangkitan kuman di kaki pada 2019 sebelum mengalami kecederaan saraf tulang belakang apabila tulang tengkuknya terkelur daripada saraf tunjang secara tiba-tiba pada 2021.
Menurutnya, sejak itu dia yang menjalani kehidupan normal seperti wanita lain sudah tidak boleh berjalan dan lumpuh bermula daripada paras pinggang hingga ke bawah.
Katanya, berbekalkan semangat, dia yang menjalani rawatan rehabilitasi kemudiannya berjaya berjalan semula dengan bantuan tongkat selama tiga bulan, namun terjatuh pada Jun tahun lalu menyebabkan dia kembali tidak boleh berjalan.
"Saya kini bermula 'zero' kembali dan masih menjalani terapi tetapi doktor cakap kalau dapat berjalan semula adalah satu bonus, namun saya tetap kumpul semangat untuk membuat terapi kerana masih ada harapan untuk sembuh.
"Sekarang saya memakai tiub kencing, lampin pakai buang selain memerlukan bantuan ubat untuk membuang air besar, malah saya kerap terjatuh dan akan meminta bantuan rakan atau pemandu e-hailing yang sudah biasa membawa saya ke hospital untuk membantu mengangkat saya.
"Saya menjalani kehidupan sebatang kara dan boleh atau tidak saya perlu membolehkan diri menguruskan diri termasuk memasak makanan ringkas," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Seksyen 8, Bandar Puncak Alam, di sini, hari ini.
Katanya, sebelum ini dia pernah berkahwin namun reda apabila jodohnya tidak panjang sebelum berpisah dengan bekas suami pada April lalu, namun dia tidak mahu putus harapan kerana hidup perlu diteruskan.
"Ibu bapa saya sudah tiada sejak sekian lama dan saya pula anak tunggal. Kehidupan sekarang hanya ada diri saya saja membuatkan saya perlu kuat demi hidup sendiri selagi Allah SWT berikan peluang untuk terus bernafas di buminya ini.
"Saya juga pernah berasa 'down' tiada semangat untuk teruskan kehidupan sehingga mengalami masalah kemurungan walaupun orang lihat saya kuat dan gembira tetapi dalam hati tiada siapa tahu, namun saya tidak salahkan takdir," katanya.
Katanya, sebelum ini dia hanya suri rumah sambil berniaga pes asam pedas selepas berhenti kerja kilang, namun tidak dapat kembali berkerja kerana keadaan dirinya ketika ini dan menerima bantuan daripada zakat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Sewa rumah saya RM800 dibayar oleh pihak zakat dan bantuan JKM RM300 diterima setiap bulan. Tiub kencing dan lampin pakai buang dapat bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) tetapi bukanlah selalu.
"Kadang-kadang saya terpaksa tebalkan muka untuk pinjam wang daripada kawan untuk beli lampin biarpun malu mahu meminta bantuan kerana tidak cukup wang," katanya yang menjalani terapi dua kali seminggu di hospital.
Bagi yang ingin membantu meringankan beban Fazrin boleh menyalurkan sumbangan kepada akaun Bank Islam bernombor 12159020142969 atas nama Fazrin Abu Bakar.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... l-harungi-kehidupan |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|