|
Kes saman yang difailkan oleh produksi Pencil Pictures and Records Sdn Bhd menyaksikan sistem operasi penjualan produk yang dikendalikan syarikat Shopee Mobile Malaysia Sdn Bhd menjadi perhatian utama dalam perbicaraan.
Tampil sebagai saksi pertama defendan, Pengurus Kanan Operasi syarikat e-dagang itu memberitahu mahkamah pihaknya tidak bersetuju apabila peguam mencadangkan syarikat itu cuba menutup mata apabila berlaku penjualan produk melibatkan hak cipta.
Kenyataan tersebut dibuat di hadapan Hakim Datuk Mohd Radzi Harun menerusi perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi Isnin.
Foto: mStar
Peguam mewakili Pencil Pictures iaitu Aizul Rohan memberitahu mahkamah keraguan juga timbul terhadap teknologi dan perisian Shopee yang sepatutnya boleh membuat tapisan jika berlaku penjualan secara haram atau melanggar peraturan hak cipta.
"rosiding hari ini (Isnin) lebih kepada untuk meneliti cara Shopee beroperasi. Mereka tahu filem ada hak cipta untuk edaran namun mereka seolah-olah pejam mata berkaitan itu.
"Bagaimana Shopee tidak tahu berlaku pelanggaran undang-undang (hak cipta)sedangkan mereka sudah ada sistem yang boleh mengesan kata kunci jualan termasuk produk berkaitan filem," katanya kepada mStar ketika ditemui selepas perbicaraan berlangsung.
Dalam masa sama, saksi juga menyebut pihaknya tidak pernah mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap 11 pemilik akaun jualan yang membuat jualan secara haram filem terbitan Pencil Pictures berjudul Ada Apa Dengan Dosa (AADD) pada tahun 2020.
Saksi pada awal prosing turut menegaskan pihaknya bertanggungjawab dalam mengemas kini setiap akaun jualan dan akan menyekat mana-mana pihak yang melanggar peraturan.
Sementara plaintif turut mendakwa Shopee gagal bertindak segera dalam tempoh empat bulan (Mei 2020 hingga Ogos 2020) berlakunya penjualan secara atas talian..
Pencil Pictures yang merupakan milik penerbit Datuk Ayu Puteh atau Normashayu Puteh, 47, memfailkan saman terhadap Shopee pada 7 September 2020 selepas mendapati platform tersebut membenarkan filem AADD dijual secara haram.
Kes dibicarakan di bawah Akta Hak Cipta 1967.
Ayu bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah susulan terkena jangkitan Influenza A dan kini sedang menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya.-CARI
Sumber: mStar |
|