|
Madrid: Gara-gara kesunyian yang melampau, seorang lelaki Sepanyol terdesak merayu kepada pihak berkuasa untuk memenjarakannya.
Justo Márquez, 60 tahun dari Granada, mendakwa sangat kesepian dan mengalami masalah kesihatan serius.
Dia sanggup berdiri di luar penjara Alhaurín de la Torre di Malaga selama beberapa hari dengan harapan pihak berkuasa membenarkan dia dipenjarakan.
Foto: Telemetro
Márquez berkata, dia menghidap kanser, kemurungan, kebimbangan, dan masalah jantung dan mengalami kesunyian setiap hari.
Katanya, penjara adalah tempat pilihan terbaik buatnya bagi meredakan tekanan dialaminya.
"Saya tidak dapat mencari bantuan di mana-mana dan ke penjara adalah idea terbaik yang saya ada.
"Tetapi saya tidak mahu melakukan sebarang jenayah semata-mata mahu masuk penjara," katanya kepada agensi berita Sepanyol EFE.
Dia dirakam memegang plakad bertulis "Saya mahu ke penjara".
Bapa lima anak itu, sebelum ini pernah menghabiskan beberapa tahun di penjara kerana memiliki dadah, namun dia sudah bersih selama tiga dekad.
"Sebelum ini saya juga pernah dirujuk kepada jabatan kesihatan mental beberapa kali tetapi tidak berjaya mengubati masalah saya.
"Jadi saya merasakan penjara satu-satunya pilihan yang biasa untuk mengubati kesepian saya apatah lagi saya sudah lama tak bertemu anak-anak.
"Saya akan terus merayu dan berdiri di depan penjara ini supaya dibenarkan masuk penjara," katanya.
Justo bukan satu-satunya individu yang mahu masuk ke penjara, namun bezanya dia tidak melakukan jenayah berbanding kes sebelum ini. -CARI
Sumber: Harian Metro |
|