|
BANGKOK, Thailand – Warna mata seorang bayi lelaki berusia enam bulan dilaporkan berubah daripada coklat kepada biru selepas dia menerima rawatan asas Covid-19.
Wion News melaporkan, bayi di Thailand itu disahkan menghidap Covid-19 selepas menunjukkan simptom seperti demam dan batuk selama sehari. Kes itu disiarkan dalam jurnal perubatan, Frontier in Pediatrics.
Doktor menggunakan ubat antivirus, favipiravir kepada bayi itu seperti saranan Kementerian Kesihatan Awam Thailand untuk kanak-kanak yang mengalami gejala ringan hingga sederhana.
Foto: Wion News
Bagaimanapun, selepas 18 jam kemudian, ibu bayi itu menyedari mata anaknya bertukar warna dan menghubungi pihak profesional perubatan. Mereka meminta rawatan dihentikan serta-merta, lapor akhbar New York Post.
Perubahan warna itu pudar selepas lima hari dan mata bayi lelaki itu kembali kepada warna asal, manakala doktor yang memeriksa bayi tersebut mendapati tiada lagi warna kebiruan pada permukaan iris mata.
Sesetengah kajian menyatakan hubungan langsung antara kepekatan favipiravir dan intensiti pendarfluor, terutamanya dalam rambut serta kuku manusia.
Kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kerosakan penglihatan dan berjaya pulih daripada gejala Covid-19. –CARI
Sumber: Kosmo |
|