View: 7077|Reply: 0
|
[SEJARAH]
Sebenarnya Kedah pernah ada Robin Hood, tapi ramai yang tak tahu…
[Copy link]
|
|
Sebenarnya Kedah pernah ada Robin Hood, tapi ramai yang tak tahu…
Mesti korang kenal Robin Hood ni sebagai seorang watak legenda yang dipuji ramai sebab dia suka memberi pada rakyatnya. Bukan setakat tu, dia sentiasa disifatkan pemurah dan amat berani. Robin Hood pun biasanya pandai bermain panah dan ada kumpulan sendiri, jadi nampaknya bahawa keperwiraan Robin Hood ni segagah kumpulan dia juga.
Tahukah korang, legenda Robin Hood ni dah lama sangat dan sedikit berbeza antara budaya dan kawasan geografinya. Benda ni dah dikupas sedikit sebanyak oleh Graham Seal pasal idea watak ‘Robin Hood’ mengikut budaya. Malaysia pun tak terkecuali ye…
Para penjajah tak pandai cari Robin Hood, sebab dikatakan ganggu ketenteraman…
Biasanya, para penjajah masa dulu tak suka dengan ‘Robin Hood’ ni. Sesiapa je yang bercita-cita nak jadi ‘Robin Hood’ ni akan selalu dicari oleh pihak penjajah, sampai keluar poster ‘wanted’. Jadi kalau betul-betul nak jadi ‘Robin Hood’, mereka kena ada peraturan sendiri dan taktik masing-masing supaya boleh elak kena tangkap.
Penjajah tak suka Robin Hood ni sebab dikatakan ganggu ‘ketenteraman’ para pegawai yang diarahkan untuk buat kerja dan jalankan undang-undang British masa tu.
Antara Robin Hood yang korang perlu tahu adalah empat pahlawan Kedah ni, iaitu Panglima Nayan, Salleh Tui, Awang Poh dan Din Prum. Professor Cheah Boon Kheng kaji sejarah mereka untuk buktikan bahawa Tanah Melayu pun ada legenda Robin Hood, di bawah konsep social banditry.
Kalau nak cari sumber sejarah pasal mereka ni, susah nak cari kalau tengok rekod British. Kena banyak cari rekod tempatan pula. Cetusan idea Dr. tu pula datangnya dari buku lama tulisan Manshor Abdullah, iaitu pasal Panglima Nayan.
Kedah pernah jadi kubu kuat Robin Hood Melayu
Kenapa Kedah? Dalam review A.V.M Horton terhadap buku Dr. Cheah, dia terangkan bahawa Kedah ni sesuai dijadikan ‘kubu kuat’ Robin Hood atas beberapa sebab. Pertama, kumpulan Robin Hood Melayu ni sebenarnya tinggal di sempadan Kedah-Perlis. Oleh kerana dah dekat dengan sempadan, ‘kubu kuat’ mereka teguh sebab jauh dari kawasan pentadbiran British.
Kini, kita dah boleh nampak tanda sempadan tu. Dulu cuma hutan je. Via Foursquare
Ditambah lagi dengan kawasan hutan masa tu yang masih tebal serta ekonomi utama orang kampung adalah pertanian, jadi semua orang tolong sesama sendiri. Nak garam, nak gula, nak kain… semua orang kampung kenal seseorang yang boleh jual. Ada juga bukti menunjukkan bahawa waktu ni, keadaan ekonomi tak begitu baik.
Dengan cukai lagi… Tu sebabnya ada juga orang nak jadi ‘perompak’ sebagai sumber hidup.
Polis pun susah nak jaga kedua-dua sempadan, sebab masing-masing mempunyai polisi berbeza. Malah, keutamaan jaga sempadan tu tak menjadi kepentingan besar buat pihak Siam dan British. Maka, penghulu kampung berdekatan terpaksa kawal ‘perompak-perompak’ ni sendiri.
Kadangkala tak dinafikan penghulu tu pula sendiri yang dilaporkan jadi ‘perompak’ orang kampung. Mereka juga bersekongkol dengan kumpulan perompak lain sebagai tanda pengaruh mereka. Takde orang nak kacau sebab ‘payung’ tu besar.
Legenda Robin Hood Melayu jadi nyata dan tak terkalahkan sampailah…
Kalau Hang Tuah masih lagi dianggap mitos oleh sesetengah sarjana, Dr. Cheah pula menyatakan Robin Hood Tanah Melayu ni betul-betul wujud. Bermula dari cerita orang-orang tua, dan dikaji menggunakan sumber arkib kita dan arkib British; terbuktilah ‘Robin Hood’ Melayu ni wujud. Walaupun begitu, kebanyakan dari mereka ni kacukan Siam dengan Melayu.
Logik jugalah memandangkan kawasan mereka beroperasi pun di kawasan dekat Siam juga. Polis tak dapat jejaki kerana hanya mereka je yang tahu selok belok ‘jalan tikus’ nak larikan diri.
Dalam banyak-banyak Robin Hood, ada empat yang korang patut kenal sejarahnya. Tiga daripadanya memang popular, manakala seorang tu masih tak banyak sumber yang boleh didapati untuknya. Mereka adalah Panglima Nayan (1914-1920), Awang Poh (1915-1922), Salleh Tui (aktif sejak 1908 hingga 1929) dan Din Prum. Dari 1909 hingga 1929, nama mereka selalu meniti kat bibir orang kampung dan para pegawai British.
Polis tempatan dah tak boleh tangkap mereka, sampailah mereka dijejaki ke lubang cacing dan terus ditembak mati.
Panglima Nayan ni datang dari keluarga yang boleh tahan kaya juga. Tak macam Robin Hood yang lain, iaitu berasal dari keluarga yang miskin. Namun yang buatkan Panglima Nayan ni tambah hebat adalah dia ni dinaungi oleh seorang tuan tanah (dikira kaya juga masa tu) bernama Sulaiman Kerekau.
Manakala Awang Poh ni dianggap pembantu kanan dia, dan Salleh Tui sentiasa dilihat sebagai kawan sekomplotnya. Din Prum pula ni hanya jadi ahli geng je, tapi kena wanted juga. Pengaruh kisah mereka pula, sampai terselit kat lagu kanak-kanak Kedah masa 1940-an:
Awang Poh, Salleh Tui
Panglima Nayan, Sulaiman Kerekau,
Kalau tengok macam main toi
Nayan dan Salleh Tui adalah Robin Hood pujaan Tunku Abdul Rahman
Dr. Cheah dalam Social Banditry and rural crime in North Kedah, 1909-1929 petik ucapan Tunku Abdul Rahman sebagai “greatest of all the bandits known in Kedah”. Kawasan Salleh Tui meliputi Padang Terap dan Kubang Pasu, dan turut menjadi kawasan aktiviti Nayan dan Awang Poh kemudiannya.
Salleh Tui digemari Tunku Abdul Rahman kerana kepintarannya mengaburi musuh dan sifat pemurahnya terhadap penduduk kampung. Dr. Cheah tak berselindung bila dia nyatakan bahawa Salleh Tui ni orang yang agak bahaya kerana terkenal dengan sifatnya yang suka menyerang rumah-rumah penduduk kampung.
Dia juga dikatakan suka menculik wanita dan anak dara yang dia rasa dia nak, hinggakan cucu Raja Perlis masa tu pun dia culik.
Di sebalik jenayahnya, dia dianggap pemurah disebabkan amalannya yang suka menyuruh anak-anak penduduk kampung untuk ambil segenggam duit emas sebanyak mana yang boleh. Selain tu, dia juga selalu adakan pesta dan kenduri makan-makan untuk para penduduk kampung.
Ni kira segenggam tak? Via Quartz
Murah hati Salleh Tui ni dikongsi juga oleh Nayan, seorang Robin Hood yang turut dianggap sebagai hero kampung.
Cerita Nayan sedikit panjang dari kisah Salleh Tui. Sebelum dia dikurniakan pangkat ‘Panglima’ oleh para pengikutnya, dia ni berguru silat dengan seorang guru silat Melayu bernama Awang Panjang di Alor Setar. Oleh sebab dia seorang anak murid yang bijak, dia dikurniakanlah tangkal untuk buatkan dia jadi kebal.
Kebetulan pada waktu tu, Sulaiman Kerekau dan pengikutnya datang minta tolong dengan Nayan untuk tolong penduduk kampung yang dikatakan ditindas oleh Haji Murad, seorang lagi tuan tanah dan Taukeh Ah Leng.
Lukisan potret Panglima Nayan. Via My Travels
Ikut tulisan Mansor Abdullah, Nayan turut menyerang Hamzah, seorang pemiutang yang tamak di Kampung Buloh Lima. Ketika bekerja di bawah Sulaiman Kerekau, dia ada beberapa pengikut setia seperti Awang Poh, Salleh Billit dan Baba Yat. Kemudian, dia bawa haluan sendiri dan selalu membela penduduk miskin daripada pemimpin dan orang kaya yang suka menindas je. Dia takkan kacau orang kampung yang miskin.
Dia diburu sebagai kerbau jalang,
Liar dan buas harimau tokohnya,
Licin laksana belut di lumpur…
Mengejar keadilan yang dilupa
Dia ada hati ingin berbakti,
Tidak tahan melihat ada yang derita,
Lebih pedih hati yang menyeksa,
Tindakan dia membukakan mata mereka!
– Mansor bin Abdullah (Manbina), November 1965.
Walaupun dia didakwa meninggal akibat ditetak, masih ada lagi khabar angin yang mengatakan dia hanya dihanyutkan je masa dah nyawa-nyawa ikan dan masih beroperasi di daerah Yan dulu-dulu. Lebih pelik, terdapat beberapa laporan bahawa tengkoraknya pun tak tau kat mana. Ada kata dipamerkan Muzium Perak di Taiping, atau Muzium Negara di Kuala Lumpur.
Adik Panglima Nayan bernama Puteh. Via My Travels
Informan Dr. Cheah pula kata British dah potong kepalanya dulu supaya jadi pengajaran kat orang lain, manakala adik Nayan yang ditemubual Dr. Cheah pula kata badannya dikuburkan di sebuah perkuburan Islam kat Alor Setar.
Kita masih banyak cerita orang tua yang sebenarnya sejarah…
Sebenarnya sejarah kita ni masih banyak lagi untuk diterokai dan dikaji, terutamanya sejarah yang berasaskan legenda dan cerita buah mulut orang tua. Cakap pasal legenda, kami pun dah kupas sikit-sikit pasal legenda buaya putih. Kajian Dr. Cheah pula ni dah berjaya buktikan bahawa idea Robin Hood pun wujud juga kat sejarah budaya dan rakyat Melayu.
Kita sebenarnya kaya dengan sejarah, dan kita kena berusaha untuk korek semula harta-harta warisan kita ni.
Sumber:https://orangkata.my/budaya/sebe ... amai-yang-tak-tahu/
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|