CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6522|Reply: 0

[SEJARAH] 500 lukisan pra-sejarah ditemukan di Perak, rupanya dah lama terbiar sepi

[Copy link]
Post time 8-9-2023 03:41 PM | Show all posts |Read mode
500 lukisan pra-sejarah ditemukan di Perak, rupanya dah lama terbiar sepi


Lukisan gua asasnya merupakan suatu tanda bahawa ada komuniti manusia prasejarah  tinggal di sesuatu kawasan. Bila kita dah sebut prasejarah, ni bermaksud diorang hidup pada zaman lampau yang belum ditulis lagi sejarah tentang diorang. Situasi ni ada beza sikit dengan manusia pada zaman tamadun agung seperti Mesir, China dan Indus. Lebih menarik, rupanya kat Malaysia sendiri pun… ada jugak tinggalan manusia setua tu. Ni bermakna jugak, Malaysia ni dah ada manusia tinggal sejak dulukala lagi – sebelum bahasa ditulis!

Walaupun begitu, agak menyayat hati bila dengar keluhan para pengkaji yang menemukan lukisan penuh bersejarah ni. Ikut kefahaman kami, sejak 2010-an lagi dorang dah maklumkan kat pihak berkuasa supaya dipelihara warisan ni… sayangnya cadangan nak pelihara warisan nampaknya tak dipandang pihak berkuasa pun.


Via Edgeprop


Lebih 500 lukisan ditemukan di Perak, dipercayai jadi kawasan manusia Neolitik


Mengikut laporan The Star, lebih dari 500 lukisan ditemukan berusia ribuan tahun dan berada dalam 40 lokasi sekitar Sungai Siput hingga Gopeng. Jurucakap Kinta Valley Watch, Ching Boon Tat kata persatuan warisan tu dah jumpa lukisan-lukisan lama ni sejak 2 tahun lalu. Bila diorang jumpa, ada antara lukisan tu yang diorang tak faham atau tak tau apa benda tu. Ada jugak yang dah kabur dan sukar diteliti. Malah dalam suatu ekspedisi, sorang Orang Asli yang jadi teman diorang pun tak kenal apa maksudnya.



Beberapa lukisan Neolitik yang ditemui di Perak.. -Via The Star


Dia kata dia dah maklumkan kat wakil rakyat di kawasan tersebut dan berharap maklumat tersebut akan sampai ke pengetahuan kerajaan negeri untuk tindakan pemeliharaan.

“Kami bukanlah NGO tetapi hanyalah sekumpulan peminat gua dan sukar untuk kami menguruskannya. Walau bagaimanapun, saya merayu kepada kerajaan agar sekurangnya dapat melawat kawasan-kawasan ini dan merekodkan lukisan-lukisan ini. Lukisan kat dua buah gua di Gunung Kroh sudah dirosakkan. Kami turut menemukan sisa struktur, dipercayai sebuah kuil, di kawasan lain.”- seperti yang dilaporkan The Star

Bila dihubungi, pihak kerajaan negeri kata jabatan-jabatan yang berkenaan dah dimaklumkan mengenai penemuan tersebut, dan akan mengambil tindakan lanjut. Sememangnya besar harapan Ching Boon Tat ni… kami jugak berharap sedemikian memandangkan ia adalah warisan sejarah yang bernilai tinggi untuk kita.


Via Orangperak.com


Contohnya, penemuan satu lukisan gua yang dianggarkan berusia antara 2,500 hingga 4,000 tahun di Gua Kanthan, Chemor, Perak. Pelbagai lukisan yang ada kat dinding dan lelangit gua tu seperti diconeteng arang hitam dan berwarna merah berbentuk kapal, manusia, matahari. Turut dijumpai jugak, kulit sulit jenis ‘Brotia Spinola; dan rangka tuntung.

“Kami menemukan lukisan berbentuk kapal sepanjang kira-kira 150 sentimeter dengan 10 orang berada di atas kapal itu selain lukisan berbentuk matahari dan haiwan seperti biawak dan ayam,” – Ching Boon Tat, seperti yang dilaporkan Harian Metro

Namun oleh sebab diorang bukanlah kumpulan penyelidik, katanya;

“Kami tidak membuat kajian saintifik atau kajian khas sebaliknya hanya melakukan kajian secara umum dengan ahli persatuan sepenuhnya tanpa pembabitan daripada pengkaji sejarah. Lukisan ini perlu diukur dan dikaji dengan lebih terperinci dari segi pentarikhan dan sebagainya,”- seperti yang dilaporkan Harian Metro


Lukisan di Gua Tambun.. -Via Ipoh-city


Sementara tu, ahli arkeologi Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM) Saw Chaw Yeh kata kajian menyeluruh harus dilakukan. Umumnya di Asia Tenggara, lukisan gua berwarna merah wujud pada zaman Neolitik mnakala lukisan seperti contengan arang hitam boleh jadi dah berusia beratus tahun. Nak dapatkan warna merah tu sebenarnya satu eksperimen yang bijak untuk manusia zaman Neolitik – diorang biasanya akan guna sejenis batu ‘hematite’ yang biasa dijumpai di gua batu kapur di Malaysia. Ada kemungkinan diorang campur darah atau buah-buahan bagi mendapatkan warna merah dalam lukisan diorang.

Terpaksa ceroboh tempat orang lain, dulu memang takde tindakan wajar dalam usaha pelihara lukisan gua
Kira-kira 6 tahun lalu, sekumpulan pengkaji berkongsikan pengalaman diorang nak masuk ke salah satu kawasan manusia zaman Neolitik di Perak. Demi nak tengok lukisan merah prasejarah di Gua Tambun, diorang terpaksa ‘ceroboh’ tempat orang lain. Jalannya sukar dan perlu memasuki kawasan tanah persendirian untuk sampai ke kaki bukit Gua Tambun.

Pada 2010, Gua Tambun dah diiktiraf sebagai tapak warisan negara kerana lukisan merah zaman Neolitik yang dipercayai berusia 3,000 hingga 4,000 tahun di dinding gua tu. Ia mulanya dijumpai oleh sorang pegawai tentera British pada tahun 1959. Menariknya, ia jugak satu-satunya lukisan merah yang terdapat pada gua di Semenanjung Malaysia.


Via Ipoh-city.com

Namun begitu, keunikan dan nilai sejarahnya tu seolah tak dihargai. Kita tau je, kita tuntut tu sejarah manusia dalam lipatan sejarah Malaysia… tapi nak ke Gua Tambun tu payah sangat. Ia nampaknya kurang dihebahkan, dibangunkan dan dipromosikan sebagai salah satu kawasan pelancongan menarik di Malaysia.

Kita ambil contoh Gua Gomantong dan Gua Madai di Sabah – ia dipopularkan dan dibuka kepada awam. Lukisan merah ni harus dipopularkan tidak hanya pada peringkat pengetahuan awam je, sebaliknya perlu dijadikan sebagai pusat penyelidikan dan pelancongan. Ni pun akan jana ekonomi setempat, negeri dan negara secara langsung.

Hal sebaliknya pula berlaku. EdgeProp pada 2018 melaporkan ada jugak yang setuju ia ditutup, dengan syarat kawasan tu dijaga sebaiknya. Ada jugak yang gesa agar ia dibuka, sama seperti harapan kami. Tutup sementara untuk pembangunan semula… takpe. Tapi janganlah tutup selamanya, kan?



Kami gariskan beberapa halangan fizikal yang buatkan orang pun ragu-ragu nak ke sana.. -Via Ipoh-city.com
Kami harap seruan dan keluhan peminat gua dan sejarah negara ni akan didengari kali ni. Apa taknya, kalau kita terus berpeluk tubuh dan tak buat apa-apa bagi memelihara khazanah ni… ia akan pudar ditelan waktu dan bakal jadi satu catatan dalam buku sejarah semata-mata.


Sumber:https://orangkata.my/budaya/500- ... -lama-terbiar-sepi/

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-11-2024 11:17 AM GMT+8 , Processed in 0.047852 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list