|
Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Johor Bahru: Seorang Penolong Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, tadi, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya yang berusia 14 tahun, April lalu.
Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 31 tahun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Berdasarkan dua kertas pertuduhan itu, lelaki terbabit didakwa melakukan amang seksual fizikal di kediaman keluarga tertuduh di Kuarters HSA di sini, pada jam 1.20 pagi, 20 April lalu.
Bagi dua perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(b) dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan perbuatan itu di bawah kesalahan yang tidak boleh dijamin
Namun, beliau mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM40,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta tiga syarat tambahan, sekiranya mahkamah ingin membenarkan jaminan.
Peguam Abd Rahim Ali yang mewakili tertuduh kemudian memohon tertuduh dibenarkan ikat jamin dengan jumlah yang rendah memandangkan anak guamnya itu adalah pencari nafkah tunggal dalam keluarga.
"Tertuduh mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja dan tiga anak kecil berusia antara lima bulan hingga enam tahun.
"Dia juga tidak mempunyai sebarang risiko melarikan diri kerana masih bertugas sebagai seorang penjawat awam," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan dilarang mengganggu saksi dan mangsa, perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa sekiranya ada.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 22 November depan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -cabul-anak-saudara |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|