|
Rembau: "Saya bukan mahu tunjuk hero, saya tidak menahannya, penunggang motosikal itu yang datang ke arah saya," kata anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dirempuh ketika melakukan sekatan jalan raya (SJR), pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, Muhammad Nur Hakim Mohd Razip, 29, berkata, penunggang itu pada mulanya sudah memperlahankan motosikalnya, namun secara tiba-tiba memecut.
"Ketika kejadian, SJR dijalankan di Lebuhraya Seremban- Port Dickson (SPDH) di laluan dua lorong. Satu lorong khas untuk pemeriksaan motosikal manakala lorong kanan untuk pemeriksaan kereta.
"Saya berada di lorong kanan dan sedang memeriksa kereta. Kami sudah nampak lelaki itu memperlahankan motosikalnya dan lalu di lorong motosikal, namun secara tiba-tiba dia memecut dan menukar arah ke lorong kereta sebelum merempuh saya," katanya ketika ditemui, hari ini.
HANIF Yusabra menziarahi Muhammad Nur Hakim. FOTO Ahmad Hasbi
Bapa kepada empat anak itu berkata, dia bersyukur kerana tidak parah meskipun dilihat melambung selepas dirempuh penunggang motosikal berusia 25 tahun itu.
"Dalam video kejadian, dapat dilihat saya memegang kaki dan cuba bangun, tetapi rasa sakit. Pada masa itu memang fikiran saya kosong dan tidak tahu apa yang berlaku.
"Selepas membuat x-ray, doktor memaklumkan tiada tulang yang patah atau kecederaan lain. Terdapat tisu koyak di bahagian belakang kepala dipercayai terhentak pada jalan selain bibir koyak kerana terhantuk dengan topi keledarnya.
"Kaki kiri juga ada calar, bengkak dan rasa sakit kerana dipercayai terkena tayar motosikal," katanya yang kali pertama mengalami kemalangan ketika bertugas selama tujuh tahun berkhidmat dalam JPJ.
Mengulas mengenai kesesuaian lokasi operasi, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pihaknya mengambil kira semua faktor sebelum mengadakan SJR di mana-mana lokasi.
"Dalam kejadian ini, penunggang itu sendiri yang menunggang dalam keadaan bahaya," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... uk-hero-anggota-jpj |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|