|
NORZUHAILA memujuk anaknya yang masih trauma selepas kali pertama menjalani rawatan kemoterapi kerana kanser ketika ditemui di Taman Desa Chembong, Rembau baru-baru ini.
REMBAU – Sepasang suami isteri tidak menyangka kelenjar di bawah telinga anaknya, Nur ‘Aafiyah Naadhira Mohd. Zaki, 5, yang bengkak rupanya petanda kanak-kanak itu menghidap kanser darah atau acute leukemia.
Ibu Nur ‘Aafiyah, Norzuhaila Jasuri, 34, berkata, dia perasan mengenai perubahan anaknya pada 31 Ogos lalu dan terus membawanya ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).
“Kes Nur ‘Aafiyah dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan hasil ujian darah mengesahkan anak saya menghidap leukemia pada 7 September lalu.
“Tak sangka kelenjar itu membawa petanda Nur ‘Aafiyah sakit kanser darah,” katanya.
Menurutnya, anaknya baharu sahaja menjalani rawatan kemoterapi pertama minggu lalu dengan kos RM4,610, namun bayaran itu belum dijelaskan lagi.
Katanya, dia dan suami, Mohd. Zaki Khuzaini, 34, yang merupakan peniaga udang galah dalam talian menerima pendapatan sekitar RM2,000 sebulan dan mempunyai empat anak berusia empat hingga 12 tahun termasuk Nur ‘Aafiyah.
“Kami tidak mampu untuk jelaskan bil tertunggak Nur ‘Aafiyah, sakit anak ini ujian besar.
“Nur ‘Aafiyah akan berulang-alik ke PPUM dua kali dalam seminggu iaitu Isnin dan Khamis.
Kos rawatan mencecah ratusan ringgit tidak termasuk kos berulang-alik kami ke hospital yang pasti lebih tinggi jika bermalam,” ujarnya.
Tambah Norzuhaila, anaknya seorang yang aktif, namun sejak disahkan kanser darah, dia cepat penat selain trauma apabila melihat bahagian sakit.
Jelasnya, dia dan suami bercadang untuk memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal bagi menampung perubatan anak.
Individu yang mahu menyumbang boleh menyalurkannya kepada akaun CIMB 7023328852 (Norzuhaila Jasuri).
https://www.kosmo.com.my/2023/09 ... erita-kanser-darah/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|