CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 635|Reply: 0

[Melaka] Melaka minta bantuan JKR

[Copy link]
Post time 26-9-2023 10:32 AM | Show all posts |Read mode

KEADAAN sawah di Kampung Paya Luboh dan Seberang Gajah yang ditenggelami air banjir bulan lalu.

Melaka: Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkepentingan bagi menangani isu kerosakan tanaman padi akibat sawah ditenggelami banjir di Kampung Paya Luboh dan Seberang Gajah, Tanjung Kling, dekat sini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, langkah itu bagi mencari penyelesaian terbaik untuk jangka panjang demi memastikan nasib kira-kira 50 petani di dua kampung itu terbela.

"Saya akan minta pihak JKR menyediakan satu kertas kerja untuk memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat bagi membuat dua sistem pembentungan yang lebih besar.

"Ia juga bagi meninggikan aras jalan di kawasan ini untuk melancarkan aliran air terutama ketika hujan lebat.

"Cadangan ini perlu disegerakan kerana saya melihat keadaan cuaca tidak menentu sekarang dan padi akan rosak jika terendam terlalu lama," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Semalam Harian Metro melaporkan keluhan kira-kira 50 pesawah di Kampung Paya Luboh dan Seberang Gajah, Tanjung Kling, dekat sini yang terpaksa menanggung kerugian puluhan ribuan ringgit apabila sawah diusahakan hampir 100 hektar ditenggelami banjir setiap kali hujan lebat.

Difahamkan, tahun ini sahaja sudah tiga kali sawah mereka ditenggelami air bah dan paling teruk pertengahan bulan lalu berikutan padi sudah mula mengeluarkan hasil dan menunggu masa untuk dituai.

Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim berkata, beliau sedia maklum isu utama dihadapi pesawah di Kampung Paya Luboh dan Seberang Gajah adalah berkaitan sistem perparitan dan pembentungan.

"Ada dua saluran pembentung yang perlu dinaik taraf segera iaitu satu di Kampung Paya Luboh dan Seberang Gajah iaitu sempadan antara Pantai Kundor dan Klebang.

"Jika ini dapat dibuat segera kita dapat menangani masalah banjir membabitkan lebih kurang 500 ekar sawah di Dun Pantai Kundor.

"Kita juga sudah berhubung dengan JKR dan Jabatan Pengairan dan Saliran supaya kawasan kerap berlaku banjir ini diutamakan apatah lagi ini betul-betul membabitkan petani dan peladang yang menyumbang sebahagian makanan untuk Melaka," katanya yang berharap pihak berkaitan mengambil serius masalah itu.

https://www.hmetro.com.my/mutakh ... a-minta-bantuan-jkr
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-5-2024 09:18 PM GMT+8 , Processed in 1.723425 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list