|
Ipoh: Lima sekawan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merompak sebuah kilang elektronik, bulan lalu.
Bagaimanapun tertuduh, Mohd Nizam Abd Rahim, 40; Junaidy Ali, 46; Muhamad Rozaidi Yusoff, 42; Rizuan Mohamad Yusof, 32 dan Zairul Nizam Mohd Sazali, 47, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, semua tertuduh dengan niat telah melakukan rompak berkumpulan terhadap pengawal keselamatan, Chhetri Purna Bahadur dengan merompak unit cip yang ditolak (Cip Rejected Units) di dalam Stor Barangan Lusuh Kilang Carsem, Jalan Lapangan Terbang, Taman Maju Rapat, di sini, jam 8.45 malam, pada 14 September lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin, manakala Junaidy diwakili peguam, A Logaprieyam.
Empat lagi tertuduh diwakili peguam, Dayang Nor Emilia Azman Shah.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM4,000 dan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 November depan.
Pada 23 September lalu, media melaporkan polis menahan enam lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun Kilang Carsom, di sini membabitkan sejumlah bahan logam mampat bernilai RM180,000.
LIMA sekawan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merompak unit cip yang ditolak di sebuah kilang di Jalan Lapangan Terbang, Taman Maju Rapat, Ipoh. FOTO L Manimaran
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... k-kilang-elektronik |
|